Wednesday, October 1, 2014

Kesederhanaan bermula 'di rumah sendiri', kata Kit Siang pada Najib


KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengingatkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan gerakan kesederhanaan ‘di rumahnya sendiri’ iaitu Malaysia sebelum mempromosi agenda tersebut di peringkat antarabangsa.

Kata Kit Siang, sekiranya tidak mahu ideanya berkubur seperti slogan ‘Islam Hadhari’ yang dicanangkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib perlu segera membetulkan dasar-dasar domestik berbanding pengumumannya di pentas antarabangsa mengenai kesederhanaan.

“Najib perlu sedar bahawa kesederhanaan tidak boleh menundukkan ekstremisme di peringkat antarabangsa, melainkan kesederhanaan itu dimulakan sebagai dasar negara oleh Malaysia dan negara lain, dengan objektif sama,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) berkata, pendekatan kesederhanaan boleh memberi sumbangan bernilai kepada negara bergolak dan hal ehwal antarabangsa termasuk menangani ekstremisme.

Katanya, langkah memerangi ekstremisme bukannya mengenai pertentangan antara penganut agama Kristian dengan Islam atau Yahudi, tetapi perlawanan pendokong dasar kesederhanaan terhadap ekstremis daripada semua agama.

Kata Najib, masyarakat antarabangsa perlu menghimpunkan golongan sederhana yang bersedia untuk menebus semula maruah agama mereka dan berjuang untuk keamanan.

Pada debat umum ke-69 UNGA di Ibu Pejabat PBB itu, Najib mengulangi gesaannya kepada semua tokoh dan pemimpin agama tradisi untuk bersama-sama memastikan agama menjadi sumber kepada penyembuhan dan rahmat, dan bukannya konflik dan kemusnahan.

Najib turut memberitahu PBB bahawa militan Isis di Syria dan Iraq memusnahkan kehidupan dan menjadikan masyarakat tidak stabil, rapuh dan mengancam keselamatan serantau.

Beliau berulangkali menolak perkara yang ditakrifkan oleh ekstremisme dan mengutuk keganasan yang dilakukan atas nama Islam.

Justeru kata Kit Siang, atas semangat kesederhanaan yang diucapkan Najib, antara langkah wajar terawal yang perlu dilakukannya adalah menggugurkan semua siasatan dan dakwaan di bawah Akta Hasutan dan memberi kuasa kepada GMM untuk berkempen untuk menggalakkan kesederhanaan dan menolak segala bentuk keganasan.

“Sepertimana Islam tidak dikekang di peringkat antarabangsa, ia juga tidak dikekang di Malaysia.

“Mereka yang menggunakan nama Islam untuk mewajarkan tindakan melampau dan tidak toleran mesti dibendung, bukan sahaja di peringkat antarabangsa lebih-lebih lagi di negara sendiri,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-