Tuesday, December 23, 2014

Banjir yang lebih besar dikhuatiri melanda Kelantan

Melanda tiga negeri di Pantai Timur

KUALA LUMPUR - Banjir yang lebih besar dikhuatiri melanda Kelantan ekoran hujan lebat yang berte­rusan sementara faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan jumlah mangsa banjir di Pahang dan Terengganu meningkat semula apabila beberapa kawasan kembali dinaiki air

Di KELANTAN, Pegawai Meteoro­logi Kanan Pusat Cuaca Nasional, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, hujan lebat di negeri itu dijangka berterusan sehingga 28 Disember ini.

Keadaan itu turut menyebabkan beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah terjejas seperti di daerah Gua Musang mula dinaiki air.

Hujan lebat juga menyebabkan beberapa sungai utama di negeri ini berada pada paras bahaya iaitu di Sungai Galas, Dabong, Sungai Lebir, Tualang, Sungai Golok, Rantau Panjang dan Sungai Kelantan iaitu di Tangga Krai dan Jambatan Guillemard.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan semakin berkurangan berbanding semalam dan sehingga pukul 6 petang ini, seramai 16,217 orang dari 5,421 keluarga ditempatkan di 60 pusat pemindahan di lapan buah daerah.

Pasir Mas terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 10,575 mangsa diikuti Tumpat (4,092), Kuala Krai (440), Pasir Puteh (556), Jeli (160), Tanah Merah (148) dan Machang (19).

Dalam pada itu, 10 jalan di daerah Gua Musang, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Tumpat terpaksa ditutup kepada kenderaan.

Di PAHANG pula, seramai 896 orang membabitkan 226 keluarga di Kuantan dan Kuala Lipis ditempatkan di pusat pemindahan selepas beberapa kawasan dinaiki air ekoran hujan yang berterusan sejak awal pagi semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berkata, sebanyak 13 buah pusat pemindahan dibuka sehingga pukul 9 malam ini.

Katanya, pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan yang menempatkan para penduduk antaranya dari Kampung Chendering dan Taman Bukit Rangin Aman mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini iaitu seramai 364 orang diikuti Balai Polis Sungai Lembing dengan 80 mangsa.

“Kawasan lain yang terlibat dengan banjir di Kuantan antaranya Kampung Kempadang, Kampung Sri Damai, Kampung Semangat, Kampung Chendor Baru, Kampung Bukit Palas, Kampung Sungai Soi, Kampung Bukit Batu dan Kampung Darat Jering,” katanya di sini malam ini.

Dalam pada itu di Kuala Lipis, seramai 14 orang membabitkan empat buah keluarga dari Kampung Sungai Tagang dan Kampung Persik ditempatkan di pusat pemindahan SMK Merapoh.

Di Jerantut, sebanyak 61 mangsa membabitkan dua kampung iaitu Kampung Belebar Kuala Tahan (11 orang) yang ditempatkan di rumah saudara masing-masing dan kampung Kuala Tahan (50 orang) yang dipindahkan di Dewan Kuala Tahan.

Laluan di Kilometer (Km) 60 Jalan Kuala Tahan ditutup pada semua kenderaan manakala Jalan Simpang Sepial hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja.

Sementara itu, polis turut mengesahkan laluan di Km16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Km31 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Jalan Bandar Sungai Lembing, Jalan Kampung Nadak Sungai Lembing, Jalan Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dan Jalan Kampung Air Hitam di Jaya Gading ditutup untuk laluan semua kenderaan.

Laluan di Km34 Jalan Kuantan-Gambang (hadapan Bukit Gambang Resort City), Km25 Jalan Kuantan-Sungai Lembing dan Km22 Jalan Bukit Sagu hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja. Di Km90 Jalan Merapoh-Gua Musang pula, laluan tersebut ditutup kepada kenderaan ringan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang menyusut kepada 4,287 di 44 pusat pemindahan malam tadi, kembali meningkat kepada 6,648 melibatkan 1,800 keluarga dipindahkan ke 67 pusat pemindahan beroperasi di seluruh negeri malam ini.

Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan berterusan kadangkala lebat menyebabkan kawasan yang hampir pulih kembali dilanda banjir manakala terdapat kejadian rumah dan bangunan rosak akibat angin kencang termasuk dihempap pokok. Pasar Besar Kedai Payang turut dilanda banjir berikutan air pasang besar dan paras air belum surut sehingga pukul 11 malam tadi- 22 Dis- UM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-