Friday, December 26, 2014

Kabinet perlu mesyuarat dalam 24 jam, isytihar darurat dan tumpu bantu bencana


KUALA LUMPUR, 26 DIS: Dalam keadaan banjir semakin buruk dengan mangsa banjir melebihi 100,000 orang di enam negeri, Kabinet perlu mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh 24 jam, mengisytiharkan darurat dan menumpukan sumber persekutuan dan negeri untuk menangani bencana alam yang melanda negara.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata, mesyuarat khas Kabinet perlu menugaskan Menteri-menteri UMNO mengendalikan operasi di negeri-negeri yang dilanda banjir bagi membutkikan komitmen Pusat menangani bencana alam.

“Muhyiddin, Kabinet dan MSN tidak perlu menunggu angka kematian mencecah puluhan atau ratusan disertakan jumlah mangsa banjir mencapai ratusan ribu sebelum keadaan darurat akibat bencana banjir diisytiharkan,” tegas Kit Siang.

Beliau merujuk laporan Aljazeera 28 November lalu apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan darurat di Semenanjung Gaza selepas dua hari hujan lebat di wilayah itu, dan ratusan penduduk di kawasan sekitar Sheikh Radwan dipindahkan.

Pada malam Krismas lalu, Jakarta Post melaporkan Kabupaten (Datuk Bandar) Bandung mengisytiharkan darurat selepas ratusan ribu hektar sawah padi dilanda banjir di Jawa Tengah, Jawa Barat dan Aceh.

Pada 9 Disember, CBS News melaporkan pantai timur Pulau Vancouver, Courtenay, Kanada mengisytiharkan kecemasan kerana banjir yang disebabkan ribut subtropika kuat dengan 200mm hujan dalam tempoh 36 jam, manakala pada 16 Disember, San Francisco California turut diisytiharkan darurat kerana banjir besar disebabkan ribut.

“Kenyataan Muhyiddin bahawa tiada keperluan mengisytiharkan darurat, sedangkan bekalan elektrik dan air terputus, dalam masa sama jumlah mangsa banjir meningkat berjumlah ratusan ribu orang adalah tidak masuk akal sama sekali,” kata Kit Siang.

Dalam pada itu beliau turut menggesa kerajaan dalam mesyuarat khas kabinet menyemak untuk mengubah kaedah perisytiharan darurat akibat bencana alam yang ketinggalan zaman dan kuno.

“Lebih tak masuk akal sekiranya Kabinet perlu menunggu sehingga Rabu depan bagi membincangkan laporan tersebut, sedangkan bencana banjir paling teruk dalam sejarah negara ini memerlukan langkah segera yang perlu diambil dalam tempoh 24 jam.

“Apatah lagi bukan sahaja banjir di Kelantan, tetapi keadaan teruk berlaku di seperti Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, manakala Kedah dan Johor dijangkakan dilanda banjir teruk dalam tempoh beberapa hari akan datang yang turut memerlukan langkah luar jangka,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-