Friday, December 26, 2014

Najib pulang dari AS, lawat mangsa banjir Kelantan esok

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan pulang ke tanah air daripada bercuti di luar negara dan dijangka melawat mangsa banjir di Kelantan esok. – Gambar fail Reuters, 26 Disember, 2014.

Dikritik kerana bermain golf di Hawaii ketika puluhan ribu rakyat Malaysia berada di pusat pemindahan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan pulang ke tanah air dan melawat mangsa banjir di Kelantan esok.

Menurut kenyataan pejabatnya petang ini, beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat dan menerima taklimat daripada Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana, kerajaan negeri dan pihak yang terlibat dengan bantuan kecemasan semasa berada di Kelantan.

Beliau juga akan menemui mereka yang terjejas akibat banjir dan membincangkan langkah baru dalam memberi sokongan kepada mereka yang terpaksa dipindahkan.

Menurut jurucakap pejabatnya, perdana menteri yang sebelum ini dilaporkan bercuti bersama Presiden Barack Obama, membuat keputusan pulang dari Amerika Syarikat (AS) bagi menyelia sendiri tindakan kecemasan terhadap keadaan banjir di negara ini.

“Saya sangat bimbang dengan kejadian banjir ini. Saya turut merasai kesusahan rakyat yang kehilangan tempat tinggal dan keluarga kehilangan orang tersayang.

"Semasa di luar negara, saya sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Kebangsaan yang memberi jaminan mereka sedang melakukan segala yang mungkin bagi membantu mereka yang terjejas.

"Tetapi, saya mahu melihat sendiri keadaan tersebut dan berada bersama rakyat," Najib dipetik berkata dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ketika berada di luar negara, Najib menerima perkembangan terkini setiap hari berkenaan situasi semasa dan bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Kebangsaan meningkatkan usaha membantu rakyat yang terjejas banjir.

"Berikutan laporan baru-baru ini yang keadaan kini bertambah buruk, perdana menteri berpendapat perlu bagi beliau untuk kembali ke Malaysia dan mengawasi sendiri tindakan terhadap banjir,” kata kenyataan itu.

Setakat jam 3 petang ini, seramai 118,896 mangsa banjir berada di pusat pemindahan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis. – 26 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-pulang-dari-as-lawat-mangsa-banjir-kelantan-esok#sthash.sbWRh965.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-