Tuesday, December 23, 2014

PT3 celaru, kelam-kabut dan kucar-kacir


Agus berkata ibu bapa dilihat tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah dan tidak oleh guru dari sekolah atau negeri lain.

Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mempersoalkan sama ada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) perlu dikekalkan berikutan kemerosotan keputusan pelajar yang menduduki ujian itu.

Kenyataan itu dibuat dalam status Facebooknya selepas melawat sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi untuk melihat reaksi pelajar dan murid selepas menerima keputusan yang diumumkan hari ini.

“Saya bertanyakan ibu bapa dan guru mengenai pelaksanaan PT3 dan satu persamaan pandangan mereka ialah PTK3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir.

“Inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ‘ad hoc’, diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi,” katanya.

Ujarnya, ibu bapa dilihat tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah dan tidak oleh guru dari sekolah atau negeri lain.

Menurutnya, perkara lain yang dipersoalkan adalah keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya.

“Memang benar PT3 ini bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), namun adalah kaedah ini dapat membantu menaikkan taraf pendidikan negara?

“Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara,” katanya.

Agus turut mencadangkan untuk membuat kaji selidik dari kalangan ibu bapa dan mengambil cadangan serta pandangan sebelum melaksanakan sebarang keadah pendidikan yang baru.

Beliau difahamkan hanya 11 orang dari Tunku Kursiah, 10 dari Faris Petra, seorang dari Sekolah Datuk Abdul Razak, seorang dari Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, 21 orang dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dan 26 orang dari Sekolah Tun Fatimah yang mendapat semua A dalam ujian PT3.

Peperiksaan PT3 dilaksanakan bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini yang bertujuan melihat pencapaian prestasi pelajar mengikut penilaian band 1 (paling lemah) hingga band 6 (paling baik).

Kira-kira 453,413 calon di seluruh negara menduduki ujian PT3 di 2,608 pusat peperiksaan pada Oktober lalu.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/23/pt3-celaru-kelam-kabut-dan-kucar-kacir/#ixzz3Me3BObsC

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-