Friday, January 30, 2015

Pemimpin PAS selama ini julang "biawak hidup"

Sikap politiking Anwar sebenarnya telah lama menimbulkan masalah di dalam pakatan pembangkang dan kepimpinan PAS kini telah menyedarinya


PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Mustapa Ali bahawa pakatan akan lebih kuat sekiranya Anwar ke penjara seolah-olah memberi isyarat bahawa sememangnya kepimpinan Anwar telah melemahkan pakatan pembangkang ekoran timbulnya pelbagai masalah hasil permainan politik beliau.

Ujarnya, sikap politiking Anwar sebenarnya telah lama menimbulkan masalah di dalam pakatan pembangkang dan kepimpinan PAS telah menyedari serta mengakui hakikat akan perkara ini.

“Saya kira kepimpinan PAS hari ini baru nampak bahawa sikap Anwarlah yang sebenarnya telah banyak menimbulkan masalah di dalam pakatan pembangkang. ‘Langkah Kajang’ bagi saya merupakan titik permulaan yang memperlihatkan sikap tamak dan diktator Anwar dalam memimpin.

“Setelah ‘Langkah Kajang’ yang dicetuskan oleh Anwar, barulah kepimpinan PAS nampak jelas sikap Anwar kerana banyak perkara diputuskannya sendiri tanpa berbincang terlebih dulu dengan kepimpinan pakatan pembangkang yang lain.

“Isu ‘Langkah Kajang’ kemudiannya kepada isu kemelut Menteri Besar Selangor sebenarnya telah membuka mata kepimpinan pakatan pembangkang khususnya PAS terhadap sikap Anwar yang tamak serta memaksa orang lain agar hanya ikut saja apa pandangan dan cadangan beliau,” lapor UMNO-Online hari ini.

Malah kata beliau lagi, ketidakhadiran Presiden PAS di dalam mesyuarat pakatan pembangkang juga adalah disebabkan sikap Anwar yang memimpin secara diktator dan membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dulu dengan kepimpinan pakatan yang lain.

“Kata Haji Hadi, buat apa nak pergi mesyuarat kalau sekadar datang untuk mendengar keputusan yang ditelah diatur dan dicatur tanpa penglibatan kepimpinan yang lain. Itu juga merupakan punca terbesar mengapa Presiden PAS tidak lagi menghadiri mesyuarat kepimpinan pembangkang yang menjadi isu baru-baru ini,” ujarnya.

Begitu juga dengan sikap Anwar yang meletakkan proksi politiknya di dalam parti tersebut yang akhirnya telah menjadikan parti itu berada dalam keadaan konflik perpecahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Dalam isu perpecahan PAS, Anwar jugalah yang menjadi puncanya. Biarpun tidak secara terang-terang, namun agenda politik Anwar yang mahu menguasai PAS dari dalam dengan meletakkan penyokong dan pengikutnya dalam jawatankuasa tertinggi PAS juga adalah faktor terbesar punca perpecahan di dalam PAS.

“Berdasarkan rentetan di atas, apa yang jelas kenyataan Setiausaha Agung PAS itu memberi makna bahawa selama kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang menjadikan pakatan pembangkang semakin lemah, malah PAS sendiri turut bergolak dengan dahsyat malahan tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Saya agak lega apabila hari ini kepimpinan PAS sudah membuka mata dengan permainan politik Anwar dan mereka juga telah sedar bahawa selama ini, mereka seolah-olah memikul biawak hidup yang akhirnya merosakkan permuafakatan dan keutuhan di dalam pakatan pembangkang, khususnya di dalam PAS itu sendiri,” akhiri beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-