Tuesday, January 27, 2015

Saya tidak ambil serius kenyataan Abdul Hadi - Presiden PasMa

Phahrolrazi berkata, Presiden PAS dan kepimpinan parti lain mungkin tidak mendapat maklumat betul tentang PasMa.

ALOR SETAR, 27 Januari:

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMA) tidak menganggap kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta PasMa keluar daripada PAS, sebagai sesuatu yang serius.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, kenyataan Presiden PAS itu berhubung PasMa, semalam, bukan sesuatu yang baru, kerana ia adalah kenyataan ‘ulangan’ yang dibuatnya tidak lama dahulu.

“Saya sebenarnya tidak ‘ambil pusing’ dengan kenyataan itu (yang dibuat Presiden PAS). Saya tidak anggap ia serius, kerana ia adalah kenyataan ulangan, sama seperti sebelum ini,” katanya yang dipetik Bernama.

Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor di Parlimen Kuala Kedah berkata, Presiden PAS dan kepimpinan parti yang lain mungkin tidak mendapat maklumat betul tentang PasMa.

Semalam, Abdul Hadi menerusi Facebooknya berkata, PasMa ‘dipersilakan’ meninggalkan parti pembangkang itu, sekiranya tidak lagi sehaluan dengan PAS.

“PasMa ini ibarat mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat, pergilah ke bahtera lain yang kamu suka, yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi,” kata Presiden PAS itu.

Menurut Phahrolrazi, PasMa tidak perlu meninggalkan PAS, kerana ia hanyalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang sememangnya berada di luar PAS dan bukan parti politik.

Jelasnya, tidak ada keperluan untuk PasMa “menebuk kapal” daripada dalam, kerana ia bergiat di luar PAS sebagai sebuah NGO.

Tambahnya, adalah perkara biasa bagi seorang ahli politik turut bergiat aktif dalam NGO.

Beliau juga berkata, dalam pertemuan empat mata dengan Presiden PAS itu di sebuah majlis anjuran PAS Kuala Kedah, di Alor Setar baru-baru ini, Abdul Hadi tidak menyatakan sebarang pandangan mengenai PasMa kepadanya.

“Tidak ada isu berbangkit, ketika kami bertemu minggu lepas,” katanya sambil menambah, semakin ramai menyertai PasMa, sejak pemimpin-pemimpin PAS membidas NGO itu secara terbuka, akhir-akhir ini.

Menurut Phahrolrazi, bukan hanya ahli PAS yang menyertai PasMa, tetapi ia turut meliputi ahli daripada parti-parti pembangkang lain.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/27/saya-tidak-ambil-serius-kenyataan-abdul-hadi-presiden-pasma/#ixzz3Q2EMdLdI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-