Saturday, January 31, 2015

Serang DAP bertubi-tubi: Adakah Mustafa Ali mahu PR berpecah?

KUALA LUMPUR, 31 JAN: DAP kesal dengan serangan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali terhadap Lim Guan Eng yang didakwanya sebagai tidak layak untuk berada dalam pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching berkata, kenyataan tersebut jelas tidak boleh diterima dan sama sekali tidak wajar berikutan Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP bukannya berada dalam saf kepimpinan atas kapasiti peribadinya.

Katanya, kehadiran Guan Eng dalam saf kepimpinan PR adalah kerana beliau merupakan pemimpin tertinggi DAP, iaitu seorang pemimpin yang telah dipilih dengan sewajarnya oleh perwakilan DAP.

Kedudukan Setiausaha Agung DAP adalah setaraf dengan Presiden atau pemimpin tertinggi parti-parti lain. Ia berbeza dengan jawatan setiausaha agung parti-parti lain yang hanya menjalankan urusan pentadbiran tanpa banyak kuasa untuk membuat keputusan.

“Saya tertanya-tanya mengapa Mustafa Ali begitu bersungguh-sungguh untuk melihat PR berpecah?” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Mustafa dalam kenyataannya semalam, mendakwa Guan Eng tidak layak duduk dalam Majlis Pimpinan PR kerana kononnya telah berbohong berhubung isu Pilihanraya Kerajaan Tempatan apabila mengatakan Pakatan sudah membayangkan persetujuan tentang undi ketiga.

Dasar Bersama Pakatan jelas membuktikan ketiga-tiga parti bersetuju untuk “mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan” yang bermaksud demokrasi tempatan bererti mengadakan pilihanraya di peringkat majlis tempatan dan dewan bandaraya.

Menurut Nie Ching, tindakan PAS menyerang sesama kawan sendiri ini bukanlah kali pertama terjadi kerana ia telah berlaku semasa krisis Selangor tahun lalu menerusi penolakan mereka terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

“Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika itu secara terbuka menyatakan Wan Azizah tidak layak menjadi MB walaupun beliau mendapat sokongan penuh daripada PKR dan DAP.

“Sejak dari itu juga, Hadi turut menolak untuk menghadiri mesyuarat kepimpinan PR atas sebab-sebab yang hanya beliau sendiri ketahui,” tambah beliau.

Tegas Ahli Parlimen Kulai itu, biarpun Hadi dan Mustafa berulang kali menyatakan mereka tidak mempunyai niat meninggalkan PR, tindakan mereka berdua jelas menunjukkan mereka tidak suka kepada Pakatan lagi.

“Jika Hadi dan Mustafa menghargai rakan-rakan dalam PR, mengapa mereka membuat serangan peribadi itu secara terbuka?” soal beliau. -Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-