Thursday, January 29, 2015

Tak perlu cabar DAP debat, memadai Presiden PAS hadir mesyuarat pucuk pimpinan Pakatan Rakyat


KUALA LUMPUR, 29 JAN: PAS tidak perlu mencabar DAP untuk berdebat tentang hudud dan pilihanraya tempatan, cukup sekadar Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudi meluangkan masa untuk hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke berkata, cabaran Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk berdebat isu hudud dan pilihanraya tempatan secara terbuka tidak kena pada tempatnya.

Menurutnya, adalah lebih wajar untuk pemimpin tertinggi PAS termasuk presidennya hadir mesyuarat pucuk pimpinan Pakatan bagi membincangkan isu-isu tersebut.

“Bukankah forum dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat adalah lebih sesuai berbanding debat memandangkan isu yang timbul melibatkan pendirian parti masing-masing dan bukannya soal individu?

“Ini perlu diselesaikan dalam mesyuarat bersama dan debat merupakan pilihan terakhir untuk membincangkan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pendekatan Mustafa mencabar Guan Eng berdebat seolah-olah ingin “membakar jambatan” dengan DAP dan menganggap DAP sebagai musuh politik PAS dan bukannya rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

“Adakah ini taktik permulaan untuk memecahkan Pakatan Rakyat dari dalam? Adakah cabaran beliau mewakili pendirian rasmi PAS?” soal beliau, sambil menambah bahawa Mustafa tidak pula pernah mencabar musuh politiknya UMNO untuk berdebat.

Menurut beliau lagi, cabaran Mustafa juga melanggar protokol rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat kerana kedudukan jawatan beliau adalah berbeza dengan Guan Eng walaupun namanya sama.

“Datuk Mustafa Ali sendiri mengetahui bahawa jawatan Setiausaha Agung DAP adalah jawatan parti yang tertinggi dalam hierarki DAP tetapi jawatan Setiausaha Agung PAS adalah jawatan lantikan oleh Presiden PAS dan kedua-dua jawatan tersebut adalah tidak setaraf dalam struktur pimpinan Pakatan Rakyat walaupun namanya sama,” jelas beliau.

Anthony mengulangi pendirian DAP bahawa usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan adalah selaras dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti.

Katanya, ia dapat dibuktikan dengan amat jelas melalui ayat yang tertera dalam Bab Demokrasi Telus dan Tulen, Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang berbunyi;

“Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.”

Anthony mahu PAS komited dan patuh kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dimeterai bersama oleh Presiden PAS sendiri.

Menurutnya, adalah amat tidak bertanggungjawab sekiranya Mustafa menggunakan isu pilihan raya kerajaan tempatan untuk menyerang DAP kononnya DAP juga melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Itulah sebabnya saya menegaskan bahawa Datuk Mustafa Ali tidak boleh menyamakan isu hudud dengan pilihan raya kerajaan tempatan kerana DAP tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan hudud sejak hari pertama Pakatan Rakyat ditubuhkan dan tidak ada satu perkataan pun dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menyentuh berkenaan dengan hudud.

“Tetapi PAS secara prinsipnya telah bersetuju untuk ‘mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan’.

“Apakah Setiausaha Agung PAS ingin memberi gambaran bahawa PAS sebenarnya hanya bersetuju dengan pengukuhan demokrasi sebelum PRU13 untuk memenangi sokongan pengundi tetapi hakikatnya PAS tidak bersedia untuk memberikan komitmen mengukuhkan demokrasi akar umbi?” ujar beliau. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-