Sunday, February 1, 2015

Anwar sah tidak lari ke mana-mana

Jauh daripada jangkaan sesetengah pihak mengenai kemungkinan melarikan diri ke luar negara pada hari penghakiman kes liwatnya yang ditetapkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun mempunyai jadual jelajahnya ke seluruh negara mulai awal Februari depan ini.

Jadual programnya yang sudah tersebar luas itu secara tidak langsung mengesahkan Anwar tetap dengan sifat berani serta keyakinan tidak bersalahnya pada hari penentuan10 Februari nanti.

Semalam, NGO Tibai dan peguam Zulkifli Noordin membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa melakukan pemerhatian lebih rapi terhadap pergerakan Anwar, termasuk merampas pasport antarabangsanya bagi mengelakkan kemungkinan kononnya ketua pembangkang itu melarikan diri ke luar negara.

Apa yang berlaku kepada Sirul Azhar Umar, pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang menghilangkan diri pada hari penghakiman dan kemudian didapati melarikan diri ke Australia dijadikan rujukan tentang kebarangkalian Anwar juga dikatakan bakal melakukan tindakan yang sama.

Namun dengan pihak Anwar sudah mengeluarkan jadual jelajahnya ke seluruh negara mulai semalam, secara langsung menafikan kemungkinan yang dibimbangi itu. Anwar kekal menunjukkan jiwa berani dan mempertahankan pendirian "lawan tetap lawan" yang menjadi pegangannnya selama ini.

Didapati bersalah atau tidak, Anwar akan menghadapinya secara berdepan dan jiwa yang kental segala kemungkinannya.

Di sebalik bibit-bibit perpecahan yang kian melebar dalam Pakatan Rakyat (PR), terutama berkaitan hubungan PAS dengan DAP serta PAS dengan PasMa, jelajah Anwar ke seluruh negara ini adalah medan terbaik untuk kembali menyatukan semula elemen itu.

Jika Anwar dipenjarakan pula, ia adalah peluang terakhir untuk bertemu dan mendengar ucapan serta amanatnya.
Rakyat secara umumnya tetap dahagakan perubahan dan masih kecewa dengan prestasi kerajaan menguruskan pelbagai isu dalam negara sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu. Harapan majoriti rakyat ialah PR yang dirasakan mampu menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN) segera menjernihkan hubungan sesama mereka dan menunjukkan kematangan yang lebih baik lagi.

Memang ramai yang mengharapkan Anwar akan dibebaskan agar dapat menyusun dan memperbaiki segala permasalahan antara parti dalam PR, tetapi keinginan kepada perubahan juga sebenarnya tidak berganjak jika Anwar dipenjarakan.

Anwar yang memberi sumbangan besar dalam membentuk dan mengukuhkan PR selama ini, tidaklah begitu mudah dilupakan segala jasa dan sumbangannya.

Kejayaannya membentuk kekuatan pembangkang yang hampir seimbang dengan BN sehingga rakyat memperolehi pelbagai nikmat dan tidak mudah diperlekeh oleh kerajaan yang terlalu dominan adalah sesuatu yang harus diakui oleh semua pihak.

Ditambah dengan wajah dan watak Datuk Seri Najib Razak yang memimpin negara ketika ini, kalaulah pembangkang tidak kuat dan BN berada dalam kedudukan majoriti dua pertiga, sudah tentu kita boleh membayangkan lebih banyak hal yang mendukacitakan lagi berlaku dalam negara ini.

Sekurang-kurangnya dengan adanya pembangkang yang kuat, hak rakyat lebih dijaga dan dipertahankan dan kerajaan tidak sewenang-wenangnya bertindak.

Jika dibebaskan, PRU 14 adalah peluang terbaik untuk Anwar mengumpul kembali kekuatannya bersama PR, tetapi kalau takdirnya dipenjarakan pula, ia bukanlah pula zaman senang-lenang untuk BN dan kerajaan menghadapi pilihan raya akan datang. – shahbudindotcom.blogspot.com

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=242392:anwar-sah-tidak-lari-ke-mana-mana&Itemid=2#ixzz3QSX0CoBh
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-