Sunday, February 1, 2015

Pakatan Rakyat dilihat dari luar dan dalam


Walaupun terdapat perbalahan umum mengenai isu teras ideologi, seperti hudud, dan hak asasi demokrasi, seperti pilihan raya kerajaan tempatan, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yakin gabungan pembangkang itu akan berjaya menempuh kemelut paling hebat yang melanda mereka sejak ia memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008.

Perbezaan antara anggota gabungan itu – PAS, PKR dan DAP, dengan parti Islam itu dilihat paling bercanggah – kini paling ketara sejak keretakan mula kelihatan tahun lepas, bermula dengan isu Langkah Kajang yang memaksa pilihan raya kecil dengan harapan melantik menteri besar Selangor yang baru.

Ketika Muktamar Tahunan PAS 2014, perwakilan lebih konservatif secara terbuka menunjukkan permusuhan mereka terhadap PR kerana kedudukan PAS yang tidak dominan dalam gabungan itu.

Yang menarik perhatian, majlis pimpinan atau majlis presiden PR didapati tidak bermesyuarat selama lebih 6 bulan. Manakala, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan tidak hadir ke mesyuarat itu sebelum itu selama lebih setahun.

Adakah PR satu gabungan yang masih berfungsi?

Pemimpin politik dari 3 parti komponennya menyedari cabaran yang dihadapi tetapi tetap menaruh keyakinan kepada gabungan itu, sambil mengingatkan pemimpin tertinggi mereka untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian secara tertutup dan bukannya menghebahkan pertelingkahan mereka secara terbuka.

Aktivis masyarakat sivil bagaimanapun, lebih kritikal, dengan Datuk Ambiga Sreenevasan menyatakan yang kredibiliti PR terancam akibat semua pergaduhan dalaman mereka dan PAS perlu "melakukan perkara yang terhormat" dengan meninggalkan gabungan itu jika ia merasakan kerjasama itu tidak berkesan untuk mereka.

The Malaysian Insider menemu bual pemimpin PR berikut, 2 aktivis dan 2 rakyat biasa:

* Datuk Mujahid Yusof Rawa, 51, ahli Parlimen Parit Buntar dan pengerusi biro perpaduan nasional PAS

* Sim Tze Tzin, 39, ahli Parlimen Bayan Baru dan pengarah strategi PKR

* Maria Chin Abdullah, 59, pengerusi Bersih 2.0

* N Surendran, ahli Parlimen Padang Serai (PKR)

* Nurul Izzah Anwar, 34, ahli Parlimen Lembah Pantai dan naib presiden PKR

* Dr Dzulkefly Ahmad, 59, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS

* Anthony Loke Siew Fook, 38, ahli Parlimen Seremban MP dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP

* Zairil Khir Johari, 32, ahli Parlimen Bukit Bendera, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan ketua pegawai eksekutif Institut Pulau Pinang

* Datuk Ambiga Sreenevasan, 59, peguam dan penaung Negara-ku

* Hanipa Maidin, 46, ahli Parlimen Sepang (PAS)

* M. Kulasegaran, 58, ahli Parlimen Ipoh Barat dan naib pengerusi DAP

* Mohd Azmin Haziq, 45, pengarah urusan syarikat swasta

* Ropinah Abdul Hamid, 51, konsultan.

TMI: Adakah anda masih percaya dalam Pakatan Rakyat sebagai satu gabungan?

Surendran: Ia mencapai kejayaan besar mencipta sejarah memecahkan majoriti dua pertiga BN dalam dua pilihan raya umum berturut-turut dan memenangi beberapa negeri. Ia melakukannya dengan menempuh pelbagai rintangan. PR berjaya membuatkan Malaysia semakin hampir dengan sistem 2 parti.

Ambiga: PR buat pertama kali menyediakan rakyat dengan satu parti alternatif yang jelas. Ini bermakna, untuk kali pertama, kita ada peluang menjadi demokrasi pelbagai parti, sesuatu yang kita cita-citakan. Sejak 2008, pembangkang mula menampakkan kehadiran sebenar mereka di Parlimen dan mereka sudah tentu bertanya soalan yang penting di Parlimen dan mengingatkan kerajaan akan tanggungjawab mereka dalam banyak isu.

Zairil: Ya, satu-satunya cara membawa perubahan dan reform di Malaysia ialah melalui pilihan raya, dan kita tidak boleh berharap untuk menang tanpa adanya parti alternatif yang berwibawa dan kuat mewakili semua rakyat Malaysia.

Mujahid: Saya yakin dengan komitmen PR dalam memecahkan politik perkauman dan ia mempunyai rekod yang baik dalam hal ini. PR juga berjaya melaksanakan sebahagian manifestonya di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Buat masa ini, tiada apa masalah, kecuali pemimpin atasan yang saling serang-menyerang, terutamanya dari PAS dan DAP. Lapisan kedua pemimpin perlu meneruskan harapan PR untuk membangunkan Malaysia yang lebih baik.

Maria: Bagi Bersih 2.0, kami hanya berminat dengan siapa yang akan membawa pembaharuan pilihan raya dan demokrasi di Malaysia. Kami akan bekerjasama dengan mana-mana individu, parti dan organisasi yang menyokong pilihan raya bersih dan adil dan agenda reformasi. Dalam kebanyakan aktiviti awam dan perhimpunan kami, kami sentiasa menjemput semua parti-parti politik, tidak kira siapa.

Dzulkefly: PR mungkin mempunyai masalahnya sendiri yang, perlu diingat, bukan sesuatu yang remeh dan bukan mudah menyelesaikannya. Tetapi, memang itulah keadaannya dalam sesebuah pakatan politik sepertimana tingkah laku organisasi dalam disiplin pembangunan organisasi. Anda lihat ia terjadi dalam sesebuah parti atau organisasi, sudah tentu lebih dari itu yang anda akan lihat dalam sebuah gabungan parti politik.

Azmin: Ya, kerana Barisan Nasional (BN) sangat dominan, kita perlu seimbangkan politik kita.

Ropinah: Ya, sekiranya mereka boleh kekal bersama di sebalik semua perbezaan. Kalaupun mereka tidak boleh menangani perbezaan antara mereka, mereka perlu terus bersama, kerana semua orang tidak sama antara satu sama lain.

TMI: Apakah penyelesaian terbaik untuk hubungan yang tegang antara parti itu kini?

Mujahid: Gencatan senjata, setuju untuk tidak bersetuju, duduk, beri tumpuan kepada isu yang lebih besar dan berlaku jujur.

Kulasegaran: Isu yang mencabar dan sukar paling baik dibincangkan dan diselesaikan secara dalaman.

Nurul Izzah: Ini situasi yang mencabar bagi majlis pimpinan PR – dan saya berharap pemimpin di semua peringkat memahami betapa pentingnya mengukuhkan majlis ini walau apa pun cabaran dihadapi. Semua orang akan diuji dalam mengetepikan perbezaan yang secara semula jadi memang wujud dan memberi tumpuan kepada prinsip bersama kita untuk Malaysia yang lebih baik.

Loke: Semua 3 parti harus mengesahkan semula komitmen terhadap rangka kerja dasar bersama kita dan berpegang padanya. Kita boleh mengetepikan semua perbezaan jika PAS bersetuju untuk tidak melanjutkan agenda hududnya tanpa persetujuan PR.


Sim: Pada ketika ini, Pakatan menggunakan pendekatan dari atas ke bawah. Akar umbi dan pemimpin muda tidak mempunyai institusi untuk bekerja bersama. (Kita mesti membina] Institusi PR dari peringkat persekutuan ke negeri, ke cawangan, ke ranting dan ke jawatankuasa kampung. Mereka mesti berjumpa setiap bulan. Bina kepercayaan dan setiakawan dan jayakan projek politik bersama. Ini akan mengukuhkan PR menjadi sebuah gabungan politik yang benar-benar moden.

Zairil: Pimpinan ketiga-tiga parti mesti bertemu untuk menyelesaikannya secara tertutup. Tiada gunanya menghebahkan kepada umum perbezaan antara kita.

Hanipa: Pemimpin tertinggi Pakatan perlu sering bertemu dan berbincang.

Ambiga: Masalah yang dihadapi gabungan itu sekarang memang dijangka tetapi kita mengharapkan mereka boleh menyelesaikan perbezaan mereka. Ini yang menjadi kebimbangan saya kerana beberapa perbezaan antara PAS dan parti lain merupakan perkara yang asas.

Pada pandangan saya, gabungan itu tertubuh di atas landasan bagi meraih undi rakyat dan saya dan ramai lain merasakan PAS menyimpang dari platform ini. Jika itu yang sebenar berlaku, saya berpendapat mereka harus berpisah secara baik kerana pertengkaran sekarang ini menjejaskan kredibiliti gabungan itu.

PAS perlu melakukan perkara yang terhormat walaupun saya tidak pasti sama ada kepimpinan mereka bercakap bagi pihak semua ahlinya. Dan tidak ada apa yang perlu dimalukan, kerana perbezaan pendapat ialah perkara biasa. Tetapi ia juga bermakna, mereka harus hentikan kerjasama ini sekiranya ia tidak berkesan.

Dzulkefly: Selesaikan perbalahan sengit itu secara tertutup dan umumkannya kemudian kepada seluruh rakyat. Rakyat tidak mahu tahu yang anda ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Mereka hanya berminat dengan apa yang anda tawarkan kepada mereka sebagai penyelesaian.

Azmin: Saya rasa ini perkara biasa, kadang-kadang memang wujud isu atau rasa tidak puas hati.

Ropinah: Mereka perlu sentiasa bertemu dan berbincang dan bukan bercakap kepada media.

TMI: Siapa yang anda rasa boleh menjadi perdana menteri jika PR menang pilihan raya seterusnya?

Mujahid: Tentunya soalan yang lebih penting ialah bagaimana PR akan memenangi pilihan raya dan tamatkan hegemoni Barisan Nasional (BN) dan memimpin negara. "Bagaimana" lebih relevan daripada "siapa" sekarang.

Sim: Satu-satunya calon jawatan perdana menteri bagi kami ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Maria: Sesiapa pun yang menjadi perdana menteri, kami masih akan mendesak supaya membawa perubahan dalam pilihan raya dan demokrasi supaya adanya dasar pertandingan yang adil dan prinsip hak kemanusiaan dan kebebasan, terutamanya (supaya prinsip) satu-individu-satu-calon dapat ditegakkan.

Nurul Izzah: Datuk Seri Anwar Ibrahim calon yang dipersetujui kuat majlis PR. Pendirian ini berulang kali dibuat PR.

Dzulkefly: Paling penting ialah, apabila kita memutuskan siapa calonnya, beliau mesti dalam kedudukan yang sedia berkhidmat dan boleh menyandang jawatan perdana menteri itu, dan tidak berada di dalam penjara.

Loke: Datuk Seri Anwar Ibrahim masih pilihan yang terbaik.

Hanipa: Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kulasegaran: Anwar yang menjadi pilihan. Di dalam kepimpinan PR juga terdapat calon lain yang setanding kelayakannya.

Azmin: Buat masa sekarang, saya lihat Mohamed Azmin Ali (Menteri Besar Selangor ), saya rasa beliau seperti suara generasi baru.

Ropinah: Seseorang dari PAS, Dr Dzulkefly (Ahmad) atau (Timbalan Presiden Datuk) Tuan Ibrahim (Tuan Man).

TMI: Apakah yang anda rasakan Malaysia mahu? Demokrasi liberal atau teokrasi konservatif?

Kulasegaran: Dalam situasi pelbagai kaum, agama dan bahasa, demokrasi liberal merupakan polisi jangka panjang menang-menang bagi semua pihak.

Hanipa: Demokrasi tanpa mengabaikan nilai agama.

Ambiga: Saya percaya rakyat Malaysia (di seluruh dunia) inginkan keamanan, keharmonian dan kebahagiaan serta kebebasan, termasuklah bebas daripada perasaan takut. Mereka juga mahukan tempat di mana anak-anak mereka ada peluang pada masa depan. Pandangan saya, satu-satunya jalan mencapai ini ialah dengan menyokong demokrasi dan menghormati kebebasan asas kita. Begitulah cara Perlembagaan Persekutuan digubal dan itulah yang kita perlukan untuk membina masa depan kita.

Zairil: Tidak diragui lagi yang rakyat Malaysia percaya kepada demokrasi. Malah, 52% daripada mereka menyokong perubahan ketika PRU sebelum ini. Kerajaan yang sebenarnya tidak menyokong aspirasi demokratik ini dengan menafikan rakyat kerajaan pilihan mereka, melalui 'gerrymandering' dan bentuk manipulasi pilihan raya lain untuk memastikan mereka kekal berkuasa.

Loke: Rakyat Malaysia mahukan kerajaan yang bersih dan adil yang menegakkan prinsip demokrasi. Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan dipersoalkan dan kebebasan agama lain perlu dijamin. Yang pasti, kita bukan ke arah teokrasi konservatif.

Nurul Izzah: Saya tidak melihatnya sebagai pilihan antara ideologi. Tujuan sebenar kita ialah mencapai objektif demokrasi, objektif Shariah, dengan membentuk kerajaan yang memberikan keadilan sosial kepada rakyat dalam semua aspek kehidupan. Kerajaan yang boleh memberikan ini akan diundi. Buat masa ini, semua akan terus tertumpu kepada keputusan yang akan diambil PAS.

Surendran: Rakyat Malaysia tidak kira kaum mahukan perkara yang sama – demokrasi yang berfungsi dengan baik di mana kebebasan asas yang dijamin di dalam perlembagaan ditegakkan dan undang-undang dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Maria: Saya mahukan Malaysia yang adil, tidak mendiskriminasikan dan demokratik – dan demokrasi bukan hanya tentang menetapkan satu negeri itu teokratik atau autoritarian. Demokrasi yang saya maksudkan bukan sahaja tentang hak individu dan kebebasan, tetapi juga akan termasuk keinginan keseluruhan rakyat dan masyarakat yang akan mengubah sistem, proses dan institusi sedia ada bagi menolak dan menghapuskan ketidakadilan, ketidaksamaan dan peminggiran.

Mujahid: Rakyat Malaysia mahukan negara sivil yang kuat dengan demokrasi sebagai asasnya. Liberal atau konservatif ialah label yang tidak mutlak. Adakah berpegang kepada nilai dan agama itu konservatif? Adalah kebebasan mutlak yang melanggar sensitiviti pihak lain dianggap liberal? Liberal dari segi ekonomi atau sosial? Negara sivil dalam konteks nasional kita, merupakan pilihan saya.

Azmin: Satu demokrasi liberal.

Ropinah: Malaysia akan bermanfaat sekiranya diperintah di bawah teokrasi konservatif, tahap moral akan meningkat daripada menurun. Rasuah boleh dihapuskan. - TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=242222:pakatan-rakyat-dilihat-dari-luar-dan-dalam&Itemid=2#ixzz3QPdc8OaL
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-