Friday, March 6, 2015

Dr Asri akan beri bukti riwayat palsu Ustaz Kazim

Khairil Ashraf
Kes itu sepatutnya berhenti setelah penjelasan berkenaan tujuan surat dalaman rasmi berkenaan.


PETALING JAYA : Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan bahawa beliau akan memberikan bukti berkenaan riwayat palsu yang diminta oleh pendakwah bebas yang terkenal dengan program popular ‘Kalau Dah Jodoh’, Datuk Mohamad Kazim Elias.

Beliau berkata, kes itu sepatutnya berhenti setelah penjelasan berkenaan tujuan surat dalaman rasmi berkenaan.

“Namun, nampaknya tokoh berkenaan (Mohamad Kazim) terus mencabar meminta bukti walaupun bukti-bukti telah diberikan oleh pelbagai pihak.

“Bagi memenuhi hasrat beliau, In Sha Allah FB (Facebook) ini dalam masa terdekat akan memberikan bukti-bukti yang beliau minta itu,” tulisnya dalam Facebook rasmi milik beliau, DrMAZA.com hari ini.

Isu tercetus apabila sepucuk surat daripada Jabatan Mufti Perlis tersebar di laman-laman sosial yang menyatakan tidak bersetuju Mohd Kazim menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.

Dalam surat tersebut, Jabatan Mufti Perlis memberikan sebab kerana Mohamad Kazim ‘sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu’.

‘Riwayat’ atau hadis palsu dimaksudkan dalam surat Jabatan Mufti Perlis adalah mengenai rakaman YouTube sedutan daripada satu ceramah Mohamad Kazim yang menyatakan ‘kenduri Rasululluah SAW menghidangkan roti jala dengan kuah kari’.

Mohamad Kazim berkata, dalam ceramahnya beliau hanya mengatakan perbandingan bahawa di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari juga masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham.

“Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa. Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-