Tuesday, April 28, 2015

Berani ke Menteri Kewangan saman "The Sarawak Report"

1MDB: Kenapa Najib terus berdiam diri?
PETALING JAYA, 28 APR – Sikap Perdana Menteri Najib Razak yang terus berdiam diri selain tindak-tanduk pihak polis dalam skandal dana 1MDB menyebabkan hilangnya keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Hal ini dibangkitkan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua apabila Najib selaku Menteri Kewangan sekaligus Pengerusi Badan Penasihat 1MDB memilih untuk tidak mahu menjawab isu-isu yang terus dibongkar portal berita The Sarawak Report.

“Najib sebenarnya boleh sahaja memberitahu negara sama ada mengesahkan atau menafikan bahawa pihak-pihak berkait Jho Low telah terlibat menggelapkan dana-dana 1MDB.

“Najib sepatutnya boleh jawab, pastinya beliau mempunyai akses terhadap setiap transaksi kewangan yang telah dibongkar Sarawak Report. Jika Sarawak Report mengarut, saya pasti Najib boleh kemukakan bukti untuk menafikan kredibiliti laman portal itu,” tegas Tony.

Namun, menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu Najib memilih untuk mengelak daripada menjawab, justeru menyebabkan rakyat tidak ada pilihan lain melainkan mempercayai setiap dakwaan Sarawak Report.

Tony turut menambah bahawa sikap berdiam diri Najib itu juga turut memberi kesan kepada institusi PDRM.

“Rakyat bukan saja sudah hilang keyakinan kepada PM, kita juga hilang keyakinan dengan PDRM kerana tidak menjalankan siasatan segera terhadap rompakan paling besar dalam sejarah negara ini.

“Bukti Jho Low terlibat dalam 1MDB sudah banyak, tetapi Ketua Polis Negara langsung tidak mahu untuk sekurang-kurangnya berjumpa Jho Low, sekalipun tidak mengeluarkan waran tangkap ke atas beliau.

“Dan pastilah sikap diam diri Najib terhadap isu ini hanya semakin menjatuhkan mutu kompeten Najib sebagai PM sekaligus Menteri Kewangan di samping menunjukkan adanya kaitan beliau dengan skandal mega itu,” jelas Tony lagi sambil mendakwa bahawa Perdana Menteri sedang cuba berlengah-lengah demi melindungi Jho Low dan pihak-pihak yang terlibat. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-