Saturday, April 25, 2015

Perkara yang disampaikan oleh Tun M yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia

Dr M tidak akan maafkan Najib kerana kehilangan RM42 bilion 1MDB 

OLEH MD IZWAN
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disambut pada pada forum ‘Bicara Negarawan’ di Kelab K, Taman Melawati, Selangor, pagi ini. Beliau mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab persoalan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) malah mempersoalkan ketelusan laporan audit yang dibuat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 April, 2015.Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi kenyataannya tidak akan memaafkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana bertanggungjawab menghilangkan RM42 bilion wang melalui syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, jumlah wang yang hilang itu bukan kecil, malah memberi bayangan ia akan berterusan jika Najib tidak meletakkan jawatan.

"Kita tidak boleh lagi maafkan, kita mesti tumpukan kepada perkara (1MDB) ini.

"Kalau kita tak hentikan, ia akan terus berlaku," kata Dr Mahathir semasa forum Bicara Negarawan di Kelab K, Taman Melawati, Selangor hari ini.

Dalam dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang, Dr Mahathir sekali lagi mendakwa Najib tidak menjawab persoalan melibatkan 1MDB malah mempersoalkan ketelusan sama ada laporan audit yang dibuat seperti diarahkan perdana menteri sendiri.

Kelab K yang dahulu dikenali sebagai Kelab Century Paradise merupakan tempat awal Dr Mahathir bertemu rakyat pada 2006 semasa mengkritik pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir berkata tidak mempunyai niat untuk masuk campur dalam pentadbiran Najib, bagaimanapun keadaan memaksanya untuk mengkritik.

"Orang akan kata saya tidak boleh bersetuju dengan sesiapa pun, kata saya mahu jadi perdana menteri selama-lamanya.

"Tapi isu ini melibatkan berbilion, jadi saya tanya diri sendiri bukan isteri saya tentang hal ini dan saya kata kepada diri saya ini tidak boleh diteruskan. Jadi saya soal mana wang itu, tapi tidak pernah dijawab. RM1 bilion atau RM2 bilion ok lah, tapi ini RM42 bilion," katanya.

Turut dipersoalkan Dr Mahathir peranan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho yang diberikan sejumlah wang yang besar daripada 1MDB.

"Saya tidak kenal Low ini, tapi beliau menafikan terlibat dengan 1MDB.

"Tapi rekod mahkamah di London menunjukkan beliau mempunyai sokongan kerajaan dan 1MDB. Beliau diberikan wang sebanyak RM42 bilion untuk diuruskan, perkara ini tidak boleh berterusan," katanya.

Dr Mahathir juga membangkitkan beberapa urus niaga meragukan melibatkan syarikat pelaburan dana strategik negara tersebut, terutamanya dalam pembelian jana kuasa bebas dan beberapa keping tanah milik kerajaan.

Beliau turut mengulangi gesaan supaya Najib melepaskan jawatan jika tidak mahu Umno dan Barisan Nasional daripada hilang kuasa.

Dr Mahathir ketika ini dilihat sebagai pengkritik utama kepada pentadbiran Najib apabila mempersoalkan pelbagai skandal membabitkan pemimpin nombor satu negara itu

Beliau lantang membangkitkan skandal menyelubungi pentadbiran Najib seperti syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang dan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibuu, yang penuh skandal. – 25 April, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dr-m-tidak-akan-maafkan-najib-kerana-hilangkan-wang-1mdb#sthash.hLJ0bqzi.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-