Tuesday, April 21, 2015

Protes salib ada unsur hasutan: KPN kata tiada, Zahid jawab ada

Khalid (kiri) hari ini dipetik sebagai berkata tiada unsur hasutan dalam protes menurunkan salib sebuah gereja di Petaling Jaya pada Ahad, manakala Zahid (kanan) dilaporkan beranggapan kejadian itu sebagai menghasut dan ahli UMNO yang terbabit akan dikenakan tindakan. - Foto arkib TRP/Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 20 April:

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiada unsur hasutan dalam tunjuk perasaan oleh sekumpulan penduduk terhadap sebuah gereja di Taman Medan semalam, kerana bantahan itu hanya mengenai lokasi gereja berkenaan.

“Kami tidak melihatnya sebagai menghasut kerana ia tidak menyentuh mengenai agama Kristian tetapi hanya tentang lokasi gereja,” kata Khalid hari ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas majlis pelancaran Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas mengenai abang beliau Datuk Abdullah Abu Bakar yang turut berada di tempat kejadian, Khalid berkata Abdullah selaku Ketua UMNO Cawangan Lindungan Jaya berada di lokasi demonstrasi itu sebagai seorang pemimpin masyarakat.

Beliau yang juga menyifatkan tunjuk perasaan itu sebagai tindakan ‘flash mob’ berkata, keadaan adalah terkawal berdasarkan laporan yang dibuat pegawai polis bertugas dan menegaskan tidak akan berkompromi jika terdapat kesalahan dilakukan.

“Jika ada perkara yang libatkan kesalahan atau pelanggaran mana-mana undang-undang tindakan akan diambil tanpa bias, tidak kira jika mereka adik-beradik saya atau anak-anak saya, tidak ada masalah, kami (polis) akan menjalankan tugas kami,” kata Khalid sambil menambah tindakan akan diambil tanpa berat sebelah, lapor portal berita The Malaysian Insider (TMI).

Menjelaskan lebih mengenai abangnya, Khalid berkata Abdullah berada di situ, di mana peserta demonstrasi meminta pemimpin gereja menurunkan simbol salib di luar premis di sebuah lot kedai itu, bagi membantu menenangkan orang ramai dan memastikan ia tidak merebak menjadi agresif.

“Kami mengkaji keseluruhan isu dan ia bukan berunsur hasutan kerana ia bukan mengenai agama Kristian.

“Salib itu diturunkan susulan terdapat permintaan daripada masyarakat dan dipersetujui oleh paderi di situ sendiri. Tidak ada kekerasan digunakan ketika salib itu diturunkan,” kata Khalid.

Beliau selanjutnya memberitahu perkara itu dirujuk kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerajaan negeri Selangor kerana ia dianggap sebagai isu masyarakat.

“Wakil rakyat juga perlu memainkan peranannya menyelesaikan isu ini,” kata beliau sambil menambah, setakat ini tidak ada laporan polis dibuat mana-mana pihak.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dan paderi gereja kerana mengendalikan keadaan dengan cara yang aman.

Semalam, kira-kira 50 orang berkumpul di luar gereja baru itu yang terletak di sebuah rumah kedai, menuntut salib yang dilekatkan di rumah ibadat itu diturunkan sebagaimana dilaporkan The Star Online.

Penunjuk perasaan dilaporkan berkata kewujudan salib di kawasan majoriti Melayu Islam itu merupakan satu cabaran kepada agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

Salib berkenaan diturunkan beberapa jam selepas protes itu.

Berbeza dengan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berpendapat bantahan terhadap salib gereja di Petaling Jaya pada Ahad sebagai menghasut.

“Sudah tentu, ya, ya, ya,” kata Zahid ketika ditanya pemberita sama ada bantahan penduduk di Taman Medan itu menghasut.

“Saya tidak kira siapa. Polis tidak kira siapa. Tindakan harus diambil terhadap mereka,” tegas Ahmad Zahid dipetik dari laporan portal berita Malaysiakini.

Zahid juga berkata bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota UMNO yang terlibat dalam protes yang mencetus kontroversi itu.

“Sudah tentu, sudah tentu, sudah tentu… kerana mereka melanggar undang-undang. Dalam UMNO, kita mesti hormat agama lain. Mereka harus hadapi akibatnya,” tegas beliau.

Sementara itu, laman Facebook Friends of BN juga hari ini mengutuk perhimpunan yang dianggap ‘memaksa’ gereja menurunkan salib itu.

“Sebagaimana umum tahu, masyarakat Melayu sekarang iaitu yang beragama Islam, ada yang sensitif mengenai tanda salib.

“Namun sekiranya iman dan kepercayaan orang Islam kuat, kita tidak perlu takut kepada lambang agama lain,” kata satu posting di laman Facebook Friends of BN.

Sambil menegaskan Rasulullah SAW sendiri menghormati agama lain, Friends of BN juga berkata agama harus menjadi penjaga keamanan, bukan pencetus perbalahan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/20/protes-salib-ada-unsur-hasutan-kpn-kata-tiada-zahid-jawap-ada/#ixzz3XthNaUOH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-