Friday, May 29, 2015

Berapa Banyak Bohong Daa..........

Oleh Shahbudin Husin


Kemelut 1MDB terus menghantui rakyat dengan jalan keluar yang masih kabur dan berliku-liku. Sama ada syarikat pelaburan itu mampu dipulihkan atau sebaliknya, yang nyata beban hutang RM42 bilion tetap menjadi tanggungan rakyat.

Selain hutang yang tinggi dan wang RM27 bilion tidak dapat dijelaskan ke mana perginya, setelah penyiasatan mencari kebenaran memasuki fasa audit oleh Ketua Audit Negara dan pendengaran di depan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, isu pembohongan nampaknya mula mengambil tempat ketika ini seolah-olah untuk melindungi cacat-cela 1MDB.

Bermula dengan jawapan berbeza Najib Razak di Parlimen mengenai kedudukan wang USD1.103 bilion yang dibawa balik daripada Pulau Cayman ke Singapura, Najib selaku Menteri Kewangan ditaktif ramai telah melakukan perbuatan bohong dan memberi kenyataan tidak benar mengenainya.

Ramai yang garu kepala dengan jawapan berbeza Najib yang memiliki paling ramai pegawai dan penasihat sehingga keliru sama ada wang tunai, aset atau unit yang dipindahka dan disimpan di Singapura itu. Yang lain pula bimbang jika sebenarnya tidak ada apa-apa yang dibawa balik daripada Pulau Cayman.

Lebih mengelirukan sebelum itu CEO 1MDB bersungguh-sungguh mengesahkan kedudukan wang di Singapura dengan menyatakan beliau telah melihat penyatanya.

Tidak saja rakyat yang menilai jawapan berbeza Najib sebagai suatu pembohongan, malah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menganggap perbuatan itu sebagai jenayah di bawah Seksyen 218, Kanun Acara Jenayah yang boleh dipenjara sehingga tiga tahun.

Mengenai misteri ke mana perginya RM27 bilion milik 1MDB di sebaliknya hutangnya berjumlah RM42 bilion, kenyataan Najib menyatakan ianya tidak hilang tetapi tersimpan sebahagiannya dalam nilai tanah TRX dan Bandar Malaysia, juga boleh ditakrif sebagai berbohong kerana ianya dinilai berdasarkan harga semasanya ketika ini sedangkan ia dibeli daripada kerajaan dengan harga yang amat-amat rendah.

Bermakna, sehingga ini ke mana menyelinapnya wang RM27 bilion itu masih lagi tidak diberikan jawapan yang sebenarnya.

Apabila terdedah kemudian mengenai fasal 117 dalam M&A 1MDB iaitu satu peruntukan khas yang memerlukan kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri bagi sebarang urusniaga syarikat pelaburan itu, sekali lagi Najib didapati telah berbohong dan tidak bercakap benar.

Ini berikutan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan Najib tidak terlibat dalam urusan harian 1MDB, sebaliknya memberitahu syarikat itu diurus oleh satu pasukan profesional dan berpengalaman.

Tetapi dengan adanya peruntukan khas dalam fasal 117 itu, bagaimanakan untuk mengelakkan daripada tanggapan Najib tidak tahu apa-apa mengenai perjalanan harian1MDB?

Tidakkah Najib juga berbohong dalam hal ini?

Ketika Arul Kanda Kandasamy, CEO 1MDB dijadual mengadap PAC pada 26 Mei lalu dan beliau tidak dapat menghadirinya, sekali lagi unsur-unsur pembohongan terdedah.

Arul membeli alasan tidak dapat hadir kerana notis yang diterimanya adalah pada 21 Mei dan beliau sudah pun mempunyai jadual di luar negara pada 26 Mei itu.

Bagaimanapun, dengan penjelasan Nur Jazlan, Pengerusi PAC bahawa mereka menghantar surat kepada Kementerian Kewangan mengenai pemakluman jadual pendengaran itu seawal 6 Mei lagi, jelas ada permainan "membeli masa" dalam hal ini.

Mengapa surat PAC bertarikh 6 Mei kepada Kementerian Kewangan tetapi hanya disampaikan kepada 1MDB pada 21 Mei?

Persoalan lebih penting berdasarkan konsep pertanggungjawaban ialah siapa Menteri Kewangan dan adakah kelewatan itu dalam pengetahuan Najib dan para pegawainya?

Lebih memeningkan kepala sejak semalam ialah apabila Arul Kanda juga dikesan telah bertemu Pengerusi BNBBC, Shahrir Samad yang dikenali sebagai penyokong kuat Najib di Kuala Lumpur pada 27 Mei, iaitu hanya sehari selepas jadual asal bertemu PAC yang tidak dapat dihadirinya.

Gambar-gambar curi pertemuan itu telah terdebar luas dan akhirnya Arul Kanda mengakui pertemuannya dengan Shahrir itu.

Negara mana Arul pergi sebenarnya pada 26 Mei itu jika pada 27 Mei beliau sudah ada di dalam negara? Dan sebagaimana pertanyaan Tony Pua, salah seorang anggota PAC, bila sebenarnya Arul pergi ke luar negara dan bilakah pula tempahan tiketnya itu dibuat?

Pertanyaan yang tidak dapat dielakkan ialah apakah di sini juga terdapat unsur-unsur pembohongan lagi?

Dalam pada itu, ramai juga yang tertanya-tanya mengapa bekas CEO 1MDB, Shahrul Halmi meminta tempoh terlalu lama iaitu sebulan untuk memberi penjelasan kepada 1MDB.

Adakah sesuatu berunsur pembohongan sedang diusahakan disebalik meminta tempoh terlalu lama itu? Jika hanya yang benar perlu diberitahu kepada PAC, kenapa tempoh sampai sebulan yang diminta?

Apa yang menarik, di sebalik kecaman ramai mengenai dolak dalik Arul dan Shahrul daripada mengadap PAC yang disifatkan amat penting untuk mengetahui kebenaran jalan cerita 1MDB, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah tampil sebagai jurucakap memberi jaminan kedua-dua mereka akan tetap memberi keterangan.

Di bursa politik kedai kopi dan lobi hotel, bertebaran cakap-cakap mengatakan betapa besarnya pangkat kedua-dua individu terbabit sehingga Najib seolah-olah hanya "PRO" saja kepada mereka.

Dengan terus bermain dengan masa dan satu demi satu pembohongan terbongkar dalam usaha yang bagaikan terpaksa untuk merungkai kekusutan 1MDB ini, rata-rata mula bertanya, apakah selepas ini lebih banyak lagi pembohongan akan terus terdedah?

Bohong, bohong dan terus bohong.

Berapa banyak bohong daa...mungkin ini yang terpacul daripada mulut Allahyarham P Ramlee jika beliau masih hidup dan menyaksikan kemelut 1MDB ini. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-