Monday, May 4, 2015

GST bebankan rakyat Malaysia; Adenan ringankan beban warga Sarawak

oleh Jimmy Adit

PANTAUAN GST: Sambutan Hari Pekerja tahun ini tidak boleh dikatakan sebagai satu perayaan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang mesti telah menyangka bahawa kedatangannya ke Sarawak untuk bertemu warga Sarawak akan menjadi peluang keemasan untuk mengingatkan mereka bahawa beliau masih memimpin dan mengawal mereka.

Tidak syak lagi beliau adalah Perdana Menteri, tetapi untuk mengatakan dia berada dalam kawalan adalah tidak berapa tepat. GST membawa terlalu banyak kerosakan dan kelihatan berada di luar kawalan.

Najib benar-benar harus jujur mengenai hal 1MDB, walaupun hanya untuk memadamkan rasa curiga rakyat Malaysia terhadap pungutan harian GST bernilai RM42 juta, yang ramai sangkakan beliau mahu gunakan untuk membayar hutang 1MDB bernilai RM42 bilion.

Malah warga Sarawak, yang majoritinya merupukan sekutu setianya, tidak gembira dengan GST, dan mempersoalkan kesungguhan beliau untuk melaksanakannya.

Tanpa ragu-ragu, kutipan RM42 juta sehari pasti menunjukkan keberkesanan GST sebagai sebuah sistem cukai. Tetapi, apakah kesannya?

Warga Sarawak marah kerana GST, dengan cara ia dilaksanakan sekarang, benar-benar menjejaskan mereka, terutamanya para petani.

Perlu diketahui bahawa majoriti rakyat Sarawak merupakan petani yang dikenakan GST 6% bagi kelapa sawit dan lada mereka.

Mereka adalah petani sama yang dikenakan caj GST 6% apabila mereka membeli keperluan harian termasuk baja dan racun rumpai yang mereka gunakan di ladang-ladang mereka.

Dari apa yang berlaku sebenarnya, petani-petani Sarawak tidak dikenakan caj GST 6% tetapi 12%, dan itu adalah sebab Najib telah dicemuh oleh warga Sarawak apabila beliau menyebut mengenai GST pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Kuching.

Waga Sarawak merasai kesannya dan oleh itu, mereka tidak dapat menerima penjelasan beliau bahawa "cukai penggunaan yang baru diperkenalkan ini bukannya bertujuan untuk membebankan rakyat."

Hakikatnya ialah petani-petani Sarawak yang dibebani.

Ejekan itu bertambah kuat apabila beliau berkata bahawa "kutipan GST akan digunakan untuk menaikkan gaji dalam sektor awam", kerana ia tidak membantu majoriti yang bukan bekerja dalam sektor kerajaan.

Walaupun warga Sarawak bersimpati dengan Najib dan cuba untuk memahami setiap langkah dan keputusan beliau, dalam cara mencemuh atau pun tidak, mereka sebenarnya memberitahu beliau bahawa walaupun dia tidak berkhidmat dengan baik bagi Malaysia, di Sarawak, Ketua Menteri Adenan Satem melakukan segala-galanya dengan baik.

Untuk warga Sarawak, walaupun GST membebankan mereka, Adenan mengurangkan beban itu melalui keputusannya memansuhkan tol di sepanjang dua jambatan, dan mengurangkan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna komersial dan industri.

Malah, sebelum GST berkuatkuasa, Adenan sudah pun memberitahu rakyat Sarawak bahawa walaupun GST adalah keputusan persekutuan, kerajaan negeri masih boleh mencari jalan untuk mengurangkan kesan sistem cukai baru itu.

Beliau berkata walaupun Sarawak tidak mempunyai suara dalam hal GST "langkah ini (pengurangan tarif dan pemansuhan tol) adalah apa yang kerajaan negeri boleh lakukan untuk meringankan beban rakyat”.

Jika rakyat Malaysia tidak berpuas hati terhadap GST, warga Sarawak dan perniagaan-perniagaan mereka sekurang-kurangnya mendapat elemen bantuan terus dari kerajaan negeri ini, untuk menampung kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan di Sarawak yang meningkat.

Penurunan ini bukannya sedikit. Perniagaan-perniagaan di tanah besar akan mengehendaki Najib melakukan perkara yang sama bagi mereka.

Bagi tarif industri, struktur dan kadar yang disemak semula itu bermakna kategori 11 seperti kilang-kilang tepung, makanan dan minuman akan menikmati penurunan tarif dari empat hingga 40%.

Berbanding dengan di Semenanjung, kilang di peringkat ini akan membayar kadar yang 61% lebih tinggi, sementara di Sabah akan membayar 40% lebih tinggi.

Di bawah kategori I2 dan I3, iaitu kuari, syarikat-syarikat balak, minyak dan gas, kilang besi, klinker, jubin dan elektronik, mereka akan menikmati pengurangan 50 sen per kwh, yang diterjemahkan kepada penjimatan purata sebanyak 2%.

Dalam erti kata lain, sebuah kilang elektronik yang menggunakan 400,000 kwh dan pada masa ini membayar RM105,000 sebulan, akan menikmati penjimatan tahunan sebanyak RM24,000 di bawah tarif yang disemak semula.

Berbanding dengan di Semenanjung, sebuah kilang dengan penggunaan di peringkat ini akan membayar kadar yang 50% lebih tinggi, manakala di Sabah akan membayar 22% lebih tinggi.
Nasib baiklah bagi Perdana Menteri, warga Sarawak hanya mengejeknya. Di Semenanjung, perhimpunan-perhimpunan anti-GST pada Hari Pekerja telah bertukar ganas dan ada pesertanya yang telah ditangkap.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-