Friday, May 29, 2015

PERKASA bimbang hak Bumiputera disamaratakan dengan kaum lain

Adam Abu Bakar 

Dokumen RMK11 langsung tidak menyentuh strategi memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera menjelang 2020.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) bimbang hak Melayu dan Bumiputera disamaratakan dengan kaum lain menjelang 2020.

Ini kerana, Rancangan Malaysia Ke11 (RMK11) langsung tidak mencerminkan agenda Melayu dan Bumiputera sebagai suatu agenda negara, kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

“Saya amat bimbang kepentingan Melayu dan Bumiputera akan disamaratakan dengan kaum-kaum lain.

“Saya menjangkakan 70 peratus penduduk di negara ini adalah Melayu dan Bumiputera menjelang 2020 tetapi persoalannya di sini ialah apakah kita mampu menguasai lebih 30 peratus ekonomi negara?,” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim akan menghantar ‘Nota Perhatian’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk menyemak semula dan membuat pindaan pada RMK-11.

“Daripada sejumlah 389 muka surat dokumen utama RMK-11 dan 601 muka surat kerta-kertas strategi yang disediakan kerajaan, tidak sampai lima peratus pun kandungan dokumennya menyentuh strategi ekonomi Melayu dan Bumiputera,” tegasnya.

Katanya, selain terlalu umum, kandungan RMK11 juga tidak memperlihatkan hasrat untuk menjamin kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-