Friday, May 29, 2015

Saham FGV menjunam, Pahang rugi hampir RM500 juta

PAHANG 28 MEI- Adun Semambu, Lee Chean Chung meminta penjelasan kerajaan Pahang berikutan kejatuhan harga Saham Felda Global Venture (FGV) yang menyebabkan kerajaan negeri itu turut mengalami kerugian.

Chean Chung berkata, buat pertama kali harga saham FGV menjunam kurang daripada RM2 apabila mencatatkan harga terendah semalam iaitu RM1.92 seunit.

Katanya, beliau difahamkan kerajaan Pahang memegang 5 peratus saham FGV, ataupun bersamaan 182 juta unit saham ketika nilai saham itu berharga RM4.55 seunit sewaktu disenaraikan.

“Bagi Kerajaan Pahang, ini bermaksud nilai saham pegangannya hanya bernilai RM349,440,000.

“Kerugian yang tercatat adalah sebanyak RM478,660,000, ataupun 2.5 kali ganda Anggaran Perbelanjaan Mengurus (RM185.09 juta) Negeri Pahang untuk tahun 2015,” katanya pada kenyataan media.

Menurutnya, keputusan untuk memegang 5 peratus saham dalam FGV adalah kurang tepat dan warga Pahang mungkin terpaksa menanggung kerugian ratusan juta ringgit atas kesilapan kerajaan negeri itu.

Berikutan itu, beliau menuntut penjelasan kerajaan negeri sama ada pembelian saham tersebut dibuat melalui pinjaman bank dan pihak mana yang menguruskan pelaburannya.

Beliau juga mahu tahu apakah strategi kerajaan Pahang berhadapan kemerosotan nilai pelaburan FGV dan bagaimana cara membantu peneroka Felda yang terlibat.

Menurutnya, bagi peneroka yang membeli 800 unit saham dengan membayar RM3,560 semasa ia disenaraikan, nilai tersebut hanya tinggal RM1,536 , yang bermakna pemegangnya rugi sebanyak RM2,024.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-