Thursday, July 9, 2015

Filem tempatan kritik kerajaan dilarang siaran di televisyen

OLEH ANISAH SHUKRY
Filem Melayu yang disiarkan stesen TV tempatan kini diketatkan lagi kawalannya oleh Putrajaya, termasuk larangan mengkritik kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider, 9 Julai, 2015.

Putrajaya mengetatkan lagi kebebasan bersuara dengan larangan terbaru adegan yang kritikal terhadap kerajaan dalam semua filem tempatan yang disiarkan di televisyen.

Larangan itu dikeluarkan menerusi pekeliling Lembaga Penapisan Filem (LPF) bertarikh 23 Jun, menyatakan babak dan dialog yang "menyindir, mempersendakan, mengkritik kerajaan dan sensitiviti politik negara" akan dipotong daripada filem tempatan di televisyen, bersama adegan dan dialog yang "mencemar imej kerajaan".

Contoh adegan itu termasuk kakitangan awam menerima rasuah atau menyalahgunakan kuasa mereka, menurut pekeliling berkenaan.

Mempertahankan langkah itu, Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata tindakan itu perlu untuk melindungi imej Putrajaya.

“Kita memang tidak boleh membenarkannya kerana ia termasuk dalam imej kita. Ia boleh bawa imej buruk kepada kerajaan, kita elakkan ia,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Adegan seperti itu sudah pasti dipotong, tidak boleh dielakkan. Kerana ada orang kita dalam stesen televisyen yang buat tapisan,” katanya.

Selain kritikan terhadap kerajaan, pekeliling itu turut melarang adegan “wanita memakai pakaian menampakkan susuk tubuh, bentuk payu dara, kemaluan, paha, punggung dan pakaian dalam (kecuali sari bagi wanita India)” dalam filem buatan tempatan untuk disiarkan di televisyen.

Adegan watak melanggar undang-undang juga akan dipotong “kecuali paparan watak jahat dan ada pembalasan”, menurut garis panduan baharu itu.

Secara keseluruhan, garis panduan penapisan itu merangkumi 10 elemen berbeza: seks, lucah, kelakuan sumbang; tahyul, khurafat; rokok, minuman keras, dadah; kesesuaian pakaian; perilaku tidak sopan; ganas, kejam, ngeri; berbaur politik; seram, misteri, menakutkan; dan pematuhan undang-undang, integriti kerajaan.

Bagaimanapun, garis panduan baharu itu yang berkuatkuasa bermula pada 15 Jun hanya tertakluk kepada filem terbitan tempatan yang ditayangkan di stesen televisyen.

Tapisan itu juga berbeza berdasarkan kepada bahasa filem berkenaan.

Sebagai contoh, filem Melayu tidak boleh menggambarkan “adegan ajaran sesat yang tidak diikuti dengan pembalasan dan pengajaran”, tetapi adegan yang sama tidak dikenakan pada filem Cina, Tamil atau Bahasa Inggeris.

Pekeliling itu menyatakan aspek utama yang digunakan dalam mengenal pasti adegan yang patut dipotong ialah keselamatan dan ketenteraman awam, agama, sosiobudaya dan ketertiban dan ketatasusilaan.

Halim berkata, walaupun garis panduan bertulis itu masih baru, ia sebenarnya sudah diamalkan selama bertahun-tahun.

“Ia sudah ada selama ini, hanya kami memformalkannya sekarang dengan meletakkannya dalam bentuk tulisan, menyatakan garis panduan kami dengan jelas.

“Sebelum ini, tapisan terbuka kepada tafsiran, berdasarkan kepada Garis Panduan Penapisan Filem 2010. Sekarang ia sudah dalam bentuk tulisan, apa yang boleh dan tidak boleh dalam penapisan sudah sangat jelas,” katanya.

Garis Panduan Penapisan Filem 2010 tidak menyatakan dengan jelas adegan yang mengkritik kerajaan perlu dibuang.

Sebaliknya, ia hanya menyatakan adegan seumpama itu “perlu diberi perhatian rapi dan diperiksa terperinci, supaya ia tidak mencetuskan kontroversi dan ragu dalam masyarakat”.

Garis Panduan Penapisan Filem 2010 juga menyatakan salah satu alasan penapisan filem diwujudkan ialah untuk “melindungi negara dan kerajaan Malaysia daripada penyebaran filem anti kerajaan atau gambaran imej kerajaan dan agensinya secara negatif”.

Halim berkata garis panduan baharu hanya versi lebih terperinci berbanding 2010.

“Tidak ada beza, ia hanya lebih spesifik. Kerana bila filem ditayangkan di televisyen, sesiapa boleh tonton, termasuk kanak-kanak.

“Jadi garis panduan baharu memastikan adegan tidak sesuai untuk kanak-kanak tidak akan ditayangkan, seperti menghisap rokok,” katanya.

Beliau berkata, LPF mengeluarkan garis panduan baharu selepas berbincang dengan wakil stesen televisyen, dan menambah beliau tidak menerima aduan sejak pelaksanaannya.

Tetapi, pengarah filem tempatan Shahrulezad Mohameddin berkata beliau kini merasa terikat apabila garis panduan baharu melarang adegan isteri dan kanak-kanak didera.

“Hmm... macam mana nak buat cerita pasal penderaan isteri atau anak kalau scene yg menunjukkan kekerasan tu bakal di potong? Apa yg hendak diceritakan? Tak kan nak main dialog jer...hmmm...tang ni aku ada sikit musykil sikit,” katanya dalam kiriman di laman Facebook.

Dalam entri berasingan, Shahrulezad berkata pembikin filem kena terima juga garis panduan itu.

“Lepas ni terutama bagi penulis skrip sila hati-hati dengan lakon layar anda sebab peraturan ini di luar bidang kuasa stesen tv. Suka atau tidak we have to deal with it. Jangan besok bila drama kita kena cincang kat censorship board masa tu lah baru kita nak merentan rentan up status dalam FB (bunyi macam aku jer...hehehehe). Have fun writing!,” katanya di Facebook.

Pada 29 Jun, pengarah Erma Fatima berkata stesen televisyen tempatan TV3 memberitahunya, telefilemnya bertajuk Pesan Dari Tuhan perlu melalui penapisan 30 hingga 50 adegan dipotong sebelum ia dapat disiarkan kerana ia menyentuh sensitiviti politik.

Tetapi, beliau tidak bersetuju dengan keputusan mereka dan memutuskan untuk tidak menyiarkan langsung telefilem itu.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/filem-tempatan-kritik-kerajaan-dilarang-siaran-di-televisyen#sthash.BWFlWJau.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-