Wednesday, July 1, 2015

Stesen minyak lengang, pengguna tidak tahu petrol naik

Stesen minyak lengang, pengguna tidak tahu petrol naik

OLEH AINUL ASNIERA AHSAN DI KUALA LUMPUR
Tidak ada lagi situasi deretan kenderaan yang banyak di stesen minyak sebelum kenaikan harga petrol. foto Kamarul Anuar

Keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang tidak memberi notis pemberitahuan mengenai perubahan harga petrol menyebabkan suasana di kebanyakan stesen minyak di ibu negara lengang.

Situasi itu ternyata berbeza berbanding sebelum ini, yang mana stesen-stesen minyak diserbu sebelum tengah malam.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa stesen minyak di Jalan Kelang Lama dan Jalan Kuchai mendapati premis berkenaan lengang tanpa deretan kenderaan yang panjang kerana pengguna biasanya mengambil kesempatan membeli minyak sebelum kenaikan berlaku.

Stesen minyak BHP di Jalan Kuchai lama lengang menjelang tengah malam tadi.


Malah, ketika diajukan pertanyaan sama ada benarkah kenaikan petrol berlaku pada tengah malam tadi, kebanyakan pekerja stesen minyak memberitahu mereka tidak mengetahui perkara berkenaan.

Harga jualan runcit petrol RON95 dinaikkan kepada RM2.15 seliter daripada RM2.05 manakala RON97 pula ditambah 20 sen kepada RM2.55. Kenaikan itu berkuatkuasa pada pukul 12.01 tengah malam tadi.

Situasi tenang di stesen minyak Petron di Jalan Kuchai Lama selepas pukul 12 malam tadi.

Namun harga runcit bagi diesel dikekalkan.

Meskipun tiada pengumuman perubahan harga dibuat kepada umum tetapi paparan harga petrol bagi bulan Julai dimuat turun di laman sesawang KPDNKK mulai pagi ini.

Kelmarin, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sebarang perubahan harga petrol tidak lagi diumumkan kepada orang ramai, sebaliknya hanya kepada pengusaha-pengusaha minyak pada hujung bulan kerana ia adalah rutin selepas kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit bahan api mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember tahun lalu.

Ini bermakna setiap pukul 12 malam, KPDNKK akan memaklumkan perubahan harga kepada pengusaha minyak. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-