Tuesday, August 18, 2015

Guling kerajaan satu propaganda murahan - Nasruddin

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata apa yang lebih melucukan ialah apabila rancangan untuk pilihan raya umum lebih awal turut disifatkan beliau sebagai sebahagian usaha untuk menggulingkan kerajaan. - Foto TRP/Mokhsin Zamani

KUALA LUMPUR, 17 Ogos:

Pas menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa usaha untuk menukar Perdana Menteri dengan mewujudkan kerajaan perpaduan melalui proses akuan bersumpah di Parlimen sebagai langkah untuk menggulingkan kerajaan adalah satu propaganda murahan.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata apa yang lebih melucukan ialah apabila rancangan untuk pilihan raya umum lebih awal turut disifatkan beliau sebagai sebahagian usaha untuk menggulingkan kerajaan.

Menurutnya, keabsahan pemerintah dan Perdana Menteri adalah di atas sokongan majoriti ahli-ahli parlimen yang mana sekiranya hilang majoriti maka Perdana Menteri perlu ditukar dan sebaiknya pilihan raya umum diadakan bagi mendapat mandat baru rakyat.

“Ini bukan kudeta. Ini bukan suatu penggulingan. Ini adalah proses demokrasi matang dan ia pernah berlaku di United Kingdom, India dan berulang kali berlaku di Jepun dan ianya boleh sahaja berlaku di Malaysia apabila pemerintah telah gagal dalam amanah dan tanggungjawabnya.

“Malah seorang pakar perlembagaan, Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood seperti yang dipetik oleh sebuah akhbar tempatan proses di parlimen yang sedemikian rupa lebih merupakan satu pemindahan kuasa yang biasa berlaku di dalam amalan demokrasi.

“Ianya bukanlah satu tindakan yang menyalahi undang-undang di mana kerajaan dijatuhkan melalui kekerasan atau protes jalanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, adalah cukup pelik mendengar dakwaan yang sebegitu dangkal dari seorang Timbalan Perdana Menteri yang bercakap seolah-olah tidak mempunyai kefahaman mengenai proses demokrasi dan undang-undang sedangkan beliau sentiasa gah menunjukkan pada dunia akan ijazah kedoktoran beliau.

Jelasnya, apakah beliau tidak mengira kenyataan dangkal sebegitu yang menggambarkan seolah-olah kerajaan bakal digulingkan melalui huru-hara boleh meresahkan para pelabur dan menjadikan ekonomi lebih merudum dikala nilai ringgit semakin menjunam dan hutang negara semakin meningkat.

“Kenyataan ini adalah sebahagian dari siri kenyataan dangkal dan cetek yang dibuat oleh ahli-ahli kabinet baru yang cuba mempertahan dan menjustifikasi salah laku Perdana Menteri dan Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan tujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat.

“Malang bagi Umno dan BN kerana rakyat sama ada mereka yang berada di bandar atau pun di kampung kini tidak lagi boleh dimomokkan sebegitu rupa.

“Usahlah UMNO dan BN secara berterusan menimbulkan keresahan kepada rakyat, kerana dalam masa yang sama ianya dilihat sebagai satu ugutan kepada rakyat,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/17/guling-kerajaan-satu-propaganda-murahan-nasruddin/#ixzz3j5RKsrPL

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-