Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, September 26, 2015

'Bukan Najib yang mainkan sentimen perkauman'

Salleh berkata, Dr Mahathir menyalahkan Najib, kerana memenuhi kehendak dan tunduk kepada masyarakat Cina dan selepas 'membuang masa' dengan kaum Cina. - Foto arkib Bernama
KUALA LUMPUR, 25 September:

Bukan Datuk Seri Najib Razak yang memainkan sentimen perkauman, tetapi pengkritiknya yang berbuat demikian, dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata demikian sebagai mengulas laporan khas Channel News Asia yang membincangkan kedudukan Najib dan membandingkan perhimpunan Bersih 4 dengan perhimpunan baju merah pada sambutan Hari Malaysia.

Salleh berkata, laporan itu menggambarkan perhimpunan pertama sebagai mempunyai sentimen mulia, manakala perhimpunan kedua sebagai ‘mempunyai unsur perkauman’.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2013, menyatakan Barisan Nasional tidak memperoleh kemenangan besar, kerana masyarakat Cina tidak lagi menyokong kerajaan.

“Dr Mahathir menyalahkan Najib, kerana memenuhi kehendak dan tunduk kepada masyarakat Cina dan selepas ‘membuang masa’ dengan kaum Cina, mereka masih tidak menyokong kerajaan,” kata Salleh dalam catatan blognya, sskeruak.blogspot.com.

Beliau berkata, Dr Mahathir menyuarakan pendapatnya, supaya Najib memberi tumpuan kepada hanya pengundi Melayu.

“Dr Mahathir kemudian berkata, untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional, Najib perlu meletak jawatan. Jika tidak, kerajaan akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang, kerana Najib tidak lagi mendapat sokongan kaum Cina.

“Justeru, bukan Perdana Menteri yang memainkan sentimen perkauman. Pengkritik beliau yang meniupkan sentimen perkauman, sebagai alasan untuk menyingkirkannya,” kata Salleh.

Menurutnya, penganalisis Singapura, Dr Ooi Kee Beng merupakan seorang daripada pemerhati yang ditampilkan dalam laporan selama 30 minit itu, berkongsi pendapat berkenaan.

“Dr Ooi bersetuju dengan perkara itu, apabila beliau menyatakan Umno perlu penjenamaan semula untuk mendapatkan sokongan rakyat, tetapi Najib yang tidak lagi mendapat sokongan kaum Cina, perlu meletakkan jawatan dahulu.

“Dalam erti kata lain, Dr Ooi berkata, bukan Najib yang memainkan api perkauman, tetapi sentimen perkauman itu ditiupkan terhadap Najib, dan Najib menjadi mangsa dalam permainan perkauman ini,” kata Salleh.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/25/bukan-najib-yang-mainkan-sentimen-perkauman/#ixzz3mltPnltm