Thursday, September 24, 2015

Generasi muda perlu berkorban walaupun berdepan kos sara hidup tinggi

Khairy berkata, generasi muda perlu faham mesej sebenar yang dibawa di dalam peristiwa ibadah korban.
KUALA LUMPUR, 24 Sept:

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu generasi muda menghayati pengertian korban yang sebenar dan bukannya sekadar menjalani proses ritual dengan menyembelih lembu, kerbau, kambing dan unta.

Kata Khairy, generasi muda perlu faham mesej sebenar yang dibawa di dalam peristiwa di mana Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan anak kandungnya dan bagaimana Nabi Ismail telah minta bapanya untuk mengorbankannya kerana ketakwaan mereka kepada Allah.

Jelasnya, pengorbanan pada hari ini dengan melahirkan generasi muda yang boleh mengenepikan kemahuan peribadi untuk membantu orang lain dengan memikirkan perasaan orang lain sebelum melakukan sesuatu.

“Walaupun kita masing-masing sibuk dengan urusan peribadi janganlah lupa untuk mengorbankan sedikit usaha dan masa demi kebaikan.

“Saya faham anak-anak muda hari ini terpaksa kerja keras untuk mencari rezeki. Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, bukan mudah untuk kita memikirkan perkara lain.

“Tetapi dalam kehidupan harian kita juga, kita dapat menzahirkan pengorbanan yang ikhlas dalam hubungan kita dengan orang lain,” kata Menteri Belia dan Sukan itu di lama sosial Facebook beliau.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu, sekiranya generasi muda berjaya mengorbankan sifat semulajadi manusia untuk hanya memikirkan tentang diri sendiri dan memikirkan pula tentang orang lain, itu adalah permulaan yang baik ke arah pengorbanan yang lebih mendalam.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/24/generasi-muda-perlu-berkorban-walaupun-berdepan-kos-sara-hidup-tinggi/#ixzz3mdXTMT4P

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-