Wednesday, September 30, 2015

'Kalau nak bertanding juga, carilah tempat lain'

Mohd Amar berkata, jika Amanah mahu menjatuhkan Kerajaan BN, mereka sepatutnya bertanding di negeri lain, bukannya di Kelantan. - Foto arkib TRP
KOTA BHARU, 30 September:

PAS Kelantan menyifatkan segala kenyataan yang dikeluarkan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai pembohongan dan palsu, sekiranya mereka merancang bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebelum ini pernah berjanji tidak akan sesekali bertanding di Kelantan, memandangkan negeri itu sudah di bawah pemerintahan PAS untuk tempoh lama dan sudah kukuh.

“Dahulu kata takkan ganggu Kelantan…itu bos mereka (Wan Abdul Rahim) yang bagi tahu, tetapi, macam mana sekarang mahu bertanding?

“Kalau mereka betul-betul mahu menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN), sepatutnya biarkanlah PAS di Kelantan…tak payah bertandinglah.

“Kalau nak bertanding juga, carilah tempat lain…tempat lain ikut dialah (tak apalah). Apa yang saya maksudkan ialah, mereka tidak sepatutnya bertanding di sini (Kelantan),” katanya pada Selasa.

Mohd Amar berkata, jika Amanah mahu bertanding di Kelantan, ia bermakna segala kenyataan yang dikeluarkan mereka sebelum ini adalah pembohongan.

Jelasnya, jika mereka bertanding di Kelantan, akan berlaku pertandingan tiga penjuru dan keadaan itu dilihat bakal menguntungkan BN.

“Pertandingan tiga penjuru sudah semestinya menguntungkan BN…itu yang kita kena faham. Apapun, PAS akan hadapi semua keadaan, sama ada tiga penjuru ke, empat penjuru ke, PAS akan hadapinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan Amanah mempertahankan enam kerusi parlimen di seluruh negara, yang kini disandang enam bekas ahli PAS yang sudah ‘melompat’ ke Amanah.

Difahamkan, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga Ahli parlimen Parit Buntar dilaporkan sebagai berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan, sama ada mahu mempertahankan enam kerusi parlimen berkenaan.

Beliau berkata, segalanya akan dibincangkan di kalangan pimpinan dalam Pakatan Harapan, namun perkara itu masih terlalu awal dan belum boleh diputuskan lagi.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/29/kalau-nak-bertanding-juga-carilah-tempat-lain/#ixzz3n948GZVf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-