Tuesday, September 29, 2015

Kemenangan buat Umno atau permulaan kehancuran BN?

oleh Khoo Kay Peng

SUARA LANTANG: Tentunya satu tindakan bodoh dan naif bagi Umno dan penyokongnya untuk menuntut kemenangan awal berhubung perhimpunan baju merah pada Hari Malaysia. Impak demonstrasi itu, kalaupun ada, hanyalah implikasi negatif terhadap parti itu dan juga Barisan Nasional.

Pertama, matlamat utama perhimpunan itu yang disampaikan melalui intimidasi, desakan yang tidak munasabah, bahasa kasar dan retorik rasis akan menjauhkan lagi golongan pertengahan, bukannya memenangi sokongan mereka.

Ketika perhimpunan, pemimpin Umno Ali Rustam telah membuat kontradiksi yang jelas. Beliau berkata bahawa Najib Razak adalah perdana menteri untuk semua kaum, namun pada masa sama memerlukan perhimpunan Melayu-sentrik untuk membelanya. Sokongan terbuka Najib terhadap puak ‘baju merah’ ini telah menjejaskan kewibawaannya dan sekaligus menyangkal dakwaan bahawa beliau adalah perdana menteri untuk semua.

Hakikat bahawa Najib memerlukan perhimpunan itu sebagai perisai daripada kritikan adalah mengecewakan. Dengan berselindung di sebalik ‘maruah’ kaumnya, beliau hanya menambahkan lagi keraguan terhadap kepimpinannya. Najib mengambil risiko besar kerana bukan semua orang Melayu percaya bahawa kritikan terhadapnya mempunyai motif perkauman.

Adiknya Nazir Razak telah memberikan kenyataan yang relevan dan meminta kerajaan memberikan jawapan dan menyaman pengkritik, jika tuduhan ke atas 1MDB adalah fitnah semata-mata. Najib gagal melakukan kedua-duanya di sebalik membuat janji dan ancaman.

Tambahan pula, beliau telah mengambil pelbagai tindakan untuk menutup mulut pengkritiknya dalam Kabinet, menyingkirkan Peguam Negara, memindahkan pegawai tinggi Cawangan Khas (SB), mengekang pasukan siasatan khas 1MDB dan menjejaskan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Tindakan-tindakan ini hanya meningkatkan syak wasangka terhadap salah lakunya.

Kedua, orang seperti Jamal Yunos, Ali Tinju, Abdul Rahman Dahlan, Azalina Othman Said, Ali Rustam dan lain-lain yang bertindak sebagai jurucakap pentadbiran hanya menambahkan lagi rasa tidak percaya terhadap kerajaaan Najib.

Persepsi yang muncul adalah Najib telah bertindakbalas terhadap pengkritiknya serta peserta himpunan Bersih 4.0 melalui perhimpunan bahu merah. Tindakannya menggunakan karakter-karakter sebegini untuk menangkis serangan hanya merugikan diri sendiri.
Persoalan yang lebih besar adalah di mana anggota Kabinet Najib dan apa yang mereka lakukan untuk membantunya menyelesaikan krisis ini? Tanpa jawapan yang absah serta campur tangan dasar untuk menangani skandal 1MDB, apakah mereka telah mengabaikan Najib dengan mengambil pendekatan tunduk kepada kepimpinannya, namun pada masa sama membiarkan Najib ‘terbakar’ perlahan-lahan?

Dengan memecat Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal, Najib mungkin telah menyekat kemungkinan pemberontakan, namun ia tidak memberi jaminan memberi jaminan yang beliau mendapat sokongan penuh daripada kabinet. Jelas siapa yang berdiri di belakangnya dan siapa yang menutup mulut dan menjarakkan diri.

Bisik-bisik dalam parti sudah bertukar menjadi lebih kuat dan membimbangkan. Sejumlah pemimpin Umno telah mengkritik puak baju merah dan perlakuan rasis mereka.

Ketiga, semakin lantang suara ultra-Melayu, semakin hampir BN dengan hari kehancuran mereka. Himpunan baju merah amat mempolarisasi.

Najib mungkin menjadi simbol terkuat kumpulan itu memandangkan matlamat utama mereka adalah mempertahankan kepimpinan beliau tanpa mengira krisis kepimpinan yang menimpa. Jika Najib gagal mengendahkan nasihat adiknya, kebergantungannya terhadap kumpulan baju merah secara berterusan akan melemahkan BN secara sistematik selaku gabungan pelbagai kaum.

Jika MCA, Gerakan dan MIC – pengasas teras BN – akan dihukum di peti undi buat kali ketiga, parti-parti ini akan terjerumus ke dalam satu lagi perbalahan dalaman yang memusnahkan. Pergelutan kepimpinan sudah pun teruk menjejaskan MIC dan MCA. Penolakan berterusan oleh pengundi kerana hubungan mereka dengan Umno akan membawa kepada kehancuran BN jika keadaan sekarang berterusan.

Keempat, tindakan kerajaan untuk terus menyokong kumpulan baju merah adalah amat memusnahkan. Kerajaan perlu mula berhadapan dengan isu-isu secara betul. Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz telah menggesa kebertanggungjawaban dalam penyiasatan 1MDB. Menurutnya, di samping faktor luaran dan global, isu seperti 1MDB juga telah menjejaskan ringgit.

Kenyataan beliau itu lantang dan jelas. Publisiti buruk di peringkat antarabangsa telah menjejaskan keyakinan pelabur terhadap mata wang tempatan. Aliran keluar modal berjumlah RM17 bilion dalam 12 bulan terakhir ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia jelas menunjukkan kecuaian kerajaan dalam ekonomi dan salah urus 1MDB.

Akhir sekali, pihak paling rugi dalam perhimpunan baju merah adalah masyarakat Melayu sendiri. Selain menjadi jurucakap kerajaan, pemimpin puak baju merah juga mendakwa mewakili masyarakat Melayu. Bagi pihak luar, masyarakat Melayu telah digambarkan secara tidak tepat dan tidak adil sebagai suka bermusuhan, senang diprovokasi, nepotistik dan sanggup bertolak ansur dengan rasuah selagi hak kaum mereka tidak diancam.

Kegagalan kepimpinan Najib untuk memperbetul kesalahan dan masalah ekonomi yang turut dicetuskannya sendiri telah membebankan legasi keluarga politik Melayu, terutama legasi Tun Razak. Jika Najib gagal dengan teruk dan menyebabkan Umno BN ditolak majoriti mudah pengundi, kebergantungan parti terhadap elit-elit daripada keluarga ini mungkin akan dipersoalkan.

Umno mungkin telah diletakkan di atas mikroskop. Selepas pandangan menjadi lebih jelas, parti itu sebenarnya tidak kebal daripada skandal dan krisis. Maka lebih baik Umno menahan diri daripada meraikan kemenangan baju merah dengan terlalu awal.

Khoo Kay Peng adalah seorang penganalisis politik dan perunding pengurusan.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Kemenangan-buat-Umno-atau-permulaan-kehancuran-BN#sthash.bU2sOpJ2.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-