Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, September 24, 2015

Khairuddin akan cabar kesahihan penahanannya di bawah Sosma, kata peguam

OLEH KC NAZARI
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan mencabar penahanannya selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). – Gambar fail The Malaysian Insider, September 24, 2015.

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan mencabar penahanannya selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali.

Menurut Rafique, arahan itu diterimanya selepas bertemu Khairuddin petang tadi, yang ditahan di ibu pejabat polis Dang Wangi sehingga 21 Oktober depan.

"Kami terima arahan khusus daripada Datuk Khairuddin anak guam kami, supaya memfailkan permohonan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan penahanannya ini tidak sah," kata Rafique kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, petang ini.

Rafique yang bertindak sebagai jurucakap kepada pasukan enam orang peguam mewakili Khairuddin berkata anak guamnya itu ditahan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 124K dan Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Seksyen 124K berkaitan sabotaj dan 124L pula berkaitan cubaan mensabotaj.

Rafique bagaimana pun tidak memaklumkan tarikh terperinci permohonan Khairuddin itu akan difailkan.

Seorang lagi peguam Khairuddin, Fahmi Abd Moin berkata pihaknya berpuas hati dengan layanan polis kepada anak guamnya setakat ini.

"Polis setakat ini sangat membantu dan memberikan kemudahan kepada isteri beliau, Datin Seri Umie Aida untuk berjumpa beliau sebentar tadi dan kami ucapkan terima kasih kepada pihak polis," katanya.

Khairuddin ditahan dipercayai berpunca daripada laporan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara.

Beliau juga mengemukakan bukti yang berkaitan dengan 1MDB kepada Peguam Negara Switzerland di Bern, meminta pihak berkuasa negara itu menyiasat aktiviti syarikat tersebut yang melibatkan bank Switzerland dan beberapa bank antarabangsa.

Terbaru, beliau memohon pihak berkuasa Hong Kong untuk buat penyiasatan secara terperinci dan menyeluruh mengenai sumber kewangan beberapa syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Beliau juga dilapor sepatutnya menemui Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, yang dilaporkan membuka siasatan terhadap 1MDB.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khairuddin-akan-cabar-kesahihan-penahannya-di-bawah-sosma-kata-peguam#sthash.pGhf9rRA.dpuf