Wednesday, September 30, 2015

Kos Internet adalah perkara saya sedang kaji - balas Salleh


Salleh berkata, kadar penembusan Internet di Malaysia ialah 67 peratus daripada penduduk, ketika ini. - Foto arkib TRP
KUALA LUMPUR, 30 September:

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sekali lagi menegaskan, kerajaan memberi tumpuan kepada kelajuan, liputan dan kemampuan dalam pembangunan Internet di negara ini dan akan memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus rakyat mempunyai akses Internet, menjelang 2020.

“Seperti yang saya nyatakan pada Isnin, kami bercadang menawarkan 95 peratus daripada perkhidmatan Internet kepada rakyat Malaysia menjelang 2020, iaitu cuma tinggal lima tahun dari sekarang.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bercadang membelanjakan kira-kira RM9 bilion menjelang 2020, bagi mencapai matlamat ini,” kata Salleh menerusi catatan terbaru dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, pada Selasa malam.

Kerajaan, katanya, juga mahu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan bandar dan 20 peratus kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar 100 megabit sesaat (Mbps).

“Fokus Malaysia ialah kelajuan, liputan dan kemampuan. Ini bermakna, kos (kemampuan) adalah satu perkara yang saya sedang kaji, juga perkara yang dibangkitkan oleh (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang,” katanya yang dipetik Bernama.

Beliau berkata, kadar penembusan Internet di Malaysia ialah 67 peratus daripada penduduk, ketika ini.

Jelasnya, walaupun ia masih rendah berbanding Korea Selatan (92 peratus), Brunei (75 peratus), Jepun (86 peratus), Singapura (80 peratus) dan Taiwan (80 peratus), tetapi Malaysia jelas mendahului negara-negara lain di Asia.

Salleh berkata, purata kadar penembusan Internet di seluruh Asia hanya 38.8 peratus, manakala 73.5 peratus bagi seluruh Eropah dan pastinya Amerika Utara mengatasi negara-negara lain di dunia pada kadar 87.9 peratus.

Semalam, Lim yang juga penasihat DAP sekali lagi mengecam Salleh dengan berkata, sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, tugasnya adalah untuk menjadikan perkhidmatan Internet lebih murah dan popular.

Lim dalam satu kenyataan berkata, isu sekarang ialah kos untuk Internet berkelajuan tinggi terlalu mahal, bukannya rakyat Malaysia mempunyai pelbagai pilihan kelajuan Internet, berbanding negara lain.

Sehubungan itu, katanya, rakyat berhak marah dan malu, kerana kerajaan, khasnya menteri yang bertanggungjawab terhadap infrastruktur Internet, gagal dalam tugasnya, menyebabkan negara kini ketinggalan di belakang negara Asean lain, dari segi kemudahan dan purata kelajuan Internet.

“Salleh mengalahkan semua menteri, dengan membuat kenyataan paling bodoh, bukan sahaja kurang kajian, tetapi kejahilan terhadap tanggungjawab menterinya,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Sebelum ini, Lim mengkritik Salleh lebih fokus menjadi “ketua propaganda” Perdana Menteri, tanpa menumpukan perhatian terhadap perkhidmatan Internet yang lemah, berbanding negara Asia lain.

Salleh membalas kritikan Lim itu dengan berkata, rakyat Malaysia lebih gemar melanggan pakej murah, berbanding pakej mahal untuk Internet berkelajuan tinggi.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/30/kos-internet-adalah-perkara-saya-sedang-kaji-balas-salleh/#ixzz3nAwqW6F3

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-