Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, October 9, 2015

Amanah masuk pejabat baharu ketika didakwa cuba rampas bangunan PAS

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Datuk Mohammad Razin Abdullah (dua dari kiri) menyerahkan surat kelulusan bagi Parti Amanah Negara (Amanah) kepada Setiausaha Agung Anuar Tahir (dua dari kanan) baru-baru ini.Gambar The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.

Parti Amanah Negara (Amanah) mula memasuki bangunan ibu pejabatnya yang baharu pada 1 Oktober ketika sesetengah pihak dalam PAS mendakwa parti itu cuba merampas bangunan-bangunan mereka termasuk ibu pejabat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Bangunan 3 tingkat yang menjadi pejabat baharu Amanah terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur itu dinamakan Wisma Amanah.

Sehingga kini, hampir 10 kakitangan diketuai Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir sebagai petugas tetap parti yang dilancarkan 16 September lalu bersempena Hari Malaysia, beroperasi di situ.

Pada Selasa (6 Oktober), Amanah mencatatkan sejarah apabila menerima sijil pengesahan penukaran nama, logo dan slogan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Sijil itu diterima Anuar bersama Timbalan Setiausaha Agung Abang Ahmad Kerde dan Setiausaha Organisasi Amanah Suhaizan Kaiat daripada Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah.

"Kita akan jadikan Wisma Amanah sebagai pusat gerakan dan kami dapatkan ia melalui tabungan, ahli dan penyokong Amanah," kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub ketika ditemui di pejabat baharunya.

Bukan DAP biaya Amanah

Salahuddin menolak dakwaan DAP membiayai perbelanjaan kerana segala-galanya diperoleh melalui titik peluh dan hasil sumbangan ahli dan penyokong Amanah.

Ketika The Malaysian Insider berkunjung ke pejabat itu, semua pimpinan pusat termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu sedang bermesyuarat di bilik mesyuarat utama bangunan.

"Kami sedang mengadakan retreat selama 2 hari mulai hari ini bagi membincangkan Perlembagaan parti kami," kata Salahuddin.

Kemasukan mereka ke pejabat baharu itu sedikit sebanyak meredakan spekulasi Amanah akan mengambil alih Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Spekulasi bertiup kencang kerana pemimpin PAS yang menyertai Amanah bertanggungjawab mengusahakan pemilikan ibu pejabat – kini bernilai lebih RM10 juta.

Salah seorang pemegang amanah ibu pejabat PAS ialah Asmuni Awi, bekas bendahari PAS Pusat yang kini merupakan bendahari Amanah.

Bagaimana imej PAS diubah

Kumpulan progresif dalam PAS bersungguh-sungguh untuk memindahkan ibu pejabat dari markas tarbiyah yang terletak di kawasan kampung di pinggir bandar ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, ia bertujuan untuk menukar “imej kampung” PAS pada ketika itu kepada “imej kosmopolitan” walaupun mendapat tentangan kumpulan konservatif parti itu.

Kumpulan progresif yang kini menyertai Amanah banyak menjadi pemegang amanah kepada harta-harta milik PAS di seluruh negara.

Baru-baru ini, menjadi viral di laman sosial bagaimana PAS mendakwa Amanah merampas bangunan milik mereka dan Pasti (tadika ditubuhkan PAS) secara sistematik terutama di kawasan Tenggara, Johor.

Bagaimanapun, perkara ini kemudiannya dijelaskan pengerusi Amanah Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Ya'ni, Aminolhuda Hassan.

Bekas pesuruhjaya PAS Johor itu berkata, seawal penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) lagi, mereka sudah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Aset bagi menangani aset sepencarian semasa bersama parti Islam itu.

Keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada peguam, perunding hartanah dan golongan profesional.

"Insiden yang diviralkan dalam media baru-baru ini, berkaitan pemilikan sebuah markas oleh Amanah di Tenggara sebenarnya tidak lari daripada panduan yang dinyatakan," kata Aminolhuda.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/amanah-masuk-pejabat-baharu-ketika-didakwa-cuba-rampas-bangunan-pas#sthash.1JIbk3vf.dpuf