Friday, October 2, 2015

Angkat suara hanya untuk Azan, tiada nas kuatkan bacaan lain

Prof Dr Mohd Asri berkata, mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa. Tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya. Foto Facebook DrMAZA

KUALA LUMPUR, 2 Oktober:

Mematuhi peraturan menghentikan bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid, bukan kerana isu politik semata-mata, sebaliknya arahan Nabi Muhammad s.a.w dan bagi menjaga Islam yang harmoni.

Menurut Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak.

“Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan.

“Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, pagi ini.

Prof Dr Mohd Asri menegaskan, apa yang disyariatkan Islam untuk diangkat suara hanyalah azan dan tiada nas yang menyuruh menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.

Bahkan katanya, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad s.a.w. Apatah lagi dalam Islam, ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

“Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh dipaksa orang lain mendengar bacaan kita.

“Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain,” katanya.

Prof Dr Mohd Asri berkata, ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara kerana menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini.

Apatah lagi katanya, bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

“Sebenarnya, Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain.

“Malah, jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya,” katanya.

Malah, beliau memetik ulasan hadis Nabi Muhammad s.a.w oleh ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin sebagai berkata: “Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini iaitu mereka yang menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid).

“Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa. Tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..”

Kata Prof Dr Mohd Asri lagi, ulama silam juga mengingatkan bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.

Malah, beliau turut memetik tafsiran Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) sebagai berkata: “Antara tipu daya iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk.

“Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan.

“Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/02/angkat-suara-hanya-untuk-azan-tiada-nas-kuatkan-bacaan-lain/#ixzz3nNhHGlbB

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-