Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, October 15, 2015

Apa nak tunggu lampu hijau lagi.......? Kan ke dah kata nak saman, saman aje le.......

Peguam tunggu lampu hijau dari Najib untuk saman Liong Sik

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Published: 15 October 2015 12:02 PM

Tun Dr Ling Liong Sik didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung 1Malaysia Development Berhad.Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Oktober, 2015.

Peguam Datuk Seri Najib Razak akan menunggu arahan daripada anak guamnya sebelum memutuskan sama ada untuk memfailkan saman terhadap Tun Dr Ling Liong Sik atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap perdana menteri, susulan tamatnya tarikh akhir untuk bekas presiden MCA itu memohon maaf.

Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, peguam Dr Ling secara rasmi menulis kepadanya Jumaat lalu, menyatakan anak guamnya mempertahankan kenyataannya.

"Kami perlu bertemu anak guam kami (Najib) untuk menerima arahan berikutnya sama ada akan memfailkan saman," katanya kepada The Malaysian Insider.

Hafarizam berkata, kandungan surat itu sama dengan apa yang dimaklumkan Dr Ling kepada media pada 7 Oktober, di mana bekas menteri pengangkutan itu berkata, beliau tidak akan memohon maaf atas kenyataannya berhubung cara Najib mengendalikan syarikat pelaburan milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Portal berita Malaysiakini memetik Dr Ling pada 3 Oktober berkata, beliau bersetuju dengan bekas bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang Najib "mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau".

"Saya bersetuju dengan (Dr) Mahathir. Kerana beliau (Najib) mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau," beliau dipetik sebagai berkata pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Dr Ling, juga bekas presiden MCA, berkata demikian di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan gesaan Dr Mahathir supaya Najib meletak jawatan. – 15 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/peguam-tunggu-lampu-hijau-dari-najib-untuk-saman-liong-sik#sthash.tBBPpp33.dpuf