Thursday, October 22, 2015

Buka ruang tegur pemimpin kembalikan sokongan BN, kata penganalisis

OLEH KC NAZARI
Barisan Nasional (BN) perlu buka ruang bagi menegur pemimpin parti jika ia serius mahu menawan hati dan undi golongan muda, kata penganalisis politik.Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Oktober, 2015.

Barisan Nasional (BN) perlu membuka ruang bagi menegur pemimpin parti jika ia serius mahu menawan hati dan undi golongan muda, kata penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Agus berkata, saranan ini sebahagian daripada perkara yang boleh diperbaiki BN dalam usaha meningkatkan undinya.

"Ruang demokrasi itu harus dibuka untuk mereka. Maknanya, mereka yang cerdik itu mahu menyertai politik, membuat keputusan dalam politik, bebas menegur bebas memuji.

"Tetapi sekarang ini dilihatnya bebas memuji tetapi tidak bebas menegur, itu yang menyekat mereka," katanya kepada The Malaysian Insider mengulas kenyataan Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berpandangan gabungan pemerintah itu akan bermasalah sekiranya pola pengundian sekarang tidak berubah dengan segera.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mungkin boleh jadi ikon penarik tetapi belum tentu mampu memperolehi sokongan penuh golongan belia.Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Oktober, 2015.

Khairy pada Konvensyen Pemuda MIC hujung minggu lalu berkata BN kini mempunyai kira-kira 2 tahun bagi berbuat demikian.

"Saya rasa masa 2 tahun itu banyak lagi yang akan berubah dan boleh berubah. Jadi kalau betul-betul BN sudah memahami kehendak generasi semasa dan BN berubah ke arah memenuhi aspirasi anak muda, tidak mustahil (undi mereka pulih).

"Ini kerana anak muda ini majoritinya masih lagi pengundi atas pagar, memerhati apa yang memberi kebaikan dan kelebihan kepada mereka dalam pilihan raya umum akan datang," kata Agus mengulas kenyataan Khairy.

Berdasarkan pengamatannya, BN dan pembangkang sebenarnya mempunyai peluang sama rata bagi memenangi undi golongan tersebut.

"Mereka sendiri pun tidak yakin pada kekuatan pembangkang pada hari ini terutamanya sekali melihat kepada perpaduan dalam kalangan parti pembangkang.

“Namun, mereka menjadi pengundi atas pagar kerana mereka tidak tahu yang mana satu lagi boleh meyakinkan mereka.

"Ya, mereka tidak puas hati dengan kerajaan. Tetapi mereka juga tidak puas hati dengan pembangkang. Kalau esok mereka perlu buat keputusan, di situlah tawaran dan sikap politik, strategi politik diambil kira.

"Anak muda ini tidak mengidentifikasikan diri mereka kepada mana-mana parti," katanya.

Agus turut menggariskan beberapa perkara lain yang perlu dititikberatkan BN untuk menyahut seruan Khairy.

"Mula-mula mesti jaga masa depan mereka (golongan muda), jaminan ke arah pekerjaan mereka dan kehidupan mereka.

"Yang kedua memastikan janji pilihan raya itu ditunaikan. Pastinya dalam proses itu pembangkang akan beri gambaran yang banyak janji BN tidak ditunaikan.

"Maka, pemasaran politiknya adalah hendak meyakinkan rakyat untuk PRU akan datang mulai sekarang BN berubah untuk menunaikan janji politiknya," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) mempunyai pandangan berbeza dengan Agus.

Azizuddin melihat pembangkang kini ke depan dalam menarik pengundi terutamanya apabila DAP sebelum ini agresif dalam kempen mendaftarkan pengundi muda.

"Tempoh 2 tahun yang disebut Khairy itu cukup jika ada strategi yang komprehensif daripada BN bagi menangani isu orang muda.

"Pilihan raya akan datang pengundi masa itu 70% terdiri daripada golongan belia iaitu mereka yang berumur bawah 40 tahun.

"Akan ada 6 juta pengundi muda dan baru yang akan mengundi. Jadi jelaslah yang akan menentukan kemenangan apa-apa parti, sama ada BN atau Pakatan Harapan atau parti lain adalah sokongan dan undi orang muda," katanya.
Perpindahan bekas menteri Umno, Datuk Saifuddin Abdullah ke PKR adalah strategi kempen tarik golongan belia yang dilancarkan pembangkang, secara tidak sedar.Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Oktober, 2015.

Azizuddin juga mengesyaki kemasukan bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR sebagai sebahagian strategi pembangkang bagi menawan orang muda.

"Walaupun ramai yang kritik kata Saifuddin Abdullah ini tiada kepentingannya menyertai Pakatan, tetapi Saifuddin ini sebenarnya pemimpin belia dan ada tarikan kepada golongan belia.

"Beliau akan digunakan sepenuhnya PKR untuk menarik sokongan golongan muda dalam pilihan raya akan datang. Cuma BN saya belum nampak lagi apa strategi yang akan digunakan," katanya.

Ditanya kebolehan Khairy menarik undi golongan muda selaku menteri belia dan sukan, kedua-dua mereka sependapat lebih banyak usaha perlu dilakukan BN bagi tujuan itu.

"BN kena kemukakan lebih ramai lagi personaliti berkredibiliti dan karisma yang boleh menarik sokongan golongan muda.

"Bagi saya, pendekatan Khairy sudah betul menggunakan kempen Fit Malaysia dan beliau juga terlibat dengan orang muda menerusi Kementerian Belia dan Sukan," kata Azizuddin.

"Betul satu individu itu boleh menarik (sokongan) tetapi kalau Khairy seorang yang hendak berubah merapati anak muda, bukan begitu caranya.

"Khairy sebagai ikon untuk diminati ya, tetapi Khairy sebagai ikon membawa lambang Umno itu belum mampu. Organisasi itu perlu berubah seiring," kata Agus.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/buka-ruang-tegur-pemimpin-kembalikan-sokongan-bn-kata-penganalisis#sthash.BLr65maB.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-