Sunday, October 25, 2015

...Dah sasau ape ke bende ni........?

PAS bertegas Pakatan Rakyat masih hidup, kekuatan baharu bersama parti lain
Pakatan Rakyat (PR) masih hidup, walaupun ia hanya dianggotai PAS dan PKR, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Oktober, 2015.

Bagi PAS, Pakatan Rakyat (PR) masih hidup, walaupun ia hanya dianggotai parti Islam itu dan PKR, kata timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, PAS akan memperkasakan PR dengan "penyusunan semula" kekuatan antara parti itu dan PKR, di samping beberapa parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Malah, dalam mesyuaratnya dengan PKR minggu lepas, kedua-dua pihak bersetuju mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan, katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

"PR tanpa DAP adalah platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini. PR masih lagi wujud.

"Ini dibuktikan melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan," katanya.

PAS dan DAP putus hubungan sejak awal tahun ini kerana berselisih pendapat dalam beberapa isu termasuk cita-cita parti Islam itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

DAP juga menuduh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan secara unilateral dan bertindak mengatasi keputusan dibuat melalui konsensus dalam beberapa perkara yang dipersetujui kepimpinan PR.

PAS mengakhiri hubungannya dengan DAP ketika muktamar tahunannya pada Jun, membuatkan DAP mengisytiharkan gabungan PR sudah terkubur.

"Tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP dilihat sebagai satu anjakan besar perubahan di kalangan pengundi Melayu, apabila 'bebanan' PAS dituduh sebagai alat DAP, tercabut daripada pundak politik PAS," kata Tuan Ibrahim.

Berakhirnya PR juga membawa kepada kelahiran pakatan pembangkang baharu dinamakan Pakatan Harapan, dibentuk PKR, DAP dan Parti Amanah Rakyat (Amanah), diterajui bekas pemimpin progresif PAS yang disingkirkan pada pemilihan parti Jun lalu.

PAS sendiri secara dalamannya berpecah antara satu kumpulan yang mahu parti itu membina hala tuju sendiri sebagai sebuah parti pembangkang dan satu lagi kumpulan mahu meneruskan kerjasama dengan PR.

PAS enggan menyertai pakatan baharu itu, berikrar tidak lagi akan bekerjasama dengan DAP dan menggelar pemimpin Amanah "pengkhianat" kerana meninggalkan PAS. Ia kini mempunyai 14 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Tuan Ibrahim dalam kenyataannya berkata, realiti di Malaysia ialah paksi politik dan perubahan total negara hanya akan berlaku bila paksi politik Melayu/Bumiputera membuat perubahan.

Beliau juga menjangkakan anjakan besar akan berlaku di kalangan pengundi Melayu apabila kos dan kualiti kehidupan mereka terus dihimpit polisi dan penyelewengan dalam pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).

Ini termasuk, katanya, peningkatan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijangka akan berlaku dalam masa setahun dua jika negara terus kehilangan sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada GST bagi menampung perbelanjaannya.

"Kegagalan Umno / BN dalam mengurus tadbir negara dan kontroversi tidak henti mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana dana derma RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini memberi petanda masa sudah tiba untuk anjakan paradigma politik di kalangan pengundi Melayu/Bumiputera demi kesejahteraan ekonomi dan masa depan negara," kata Tuan Ibrahim. – 25 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-bertegas-pakatan-rakyat-masih-hidup-kekuatan-baharu-bersama-parti-lain#sthash.jPj0Vlsr.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-