Sunday, October 18, 2015

DAP platform tepat perjuang nasib Melayu Sarawak, kata waris pemimpin BN

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Abdul Aziz Isa yakin usaha memperjuangkan nasib Melayu lebih berkesan dengan menyertai DAP kerana tidak mahu menjadi ‘pak angguk’ kepada semua dasar kerajaan.Gambar The Malaysian Insider, 18 Oktober, 2015.

Abdul Aziz Isa, cicit kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Rahman Ya’kub memecahkan tradisi dengan menyertai DAP berbanding kebanyakan ahli keluarganya yang merupakan pemimpin Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB).

Penyertaan lelaki berusia 26 tahun itu menimbulkan kontroversi kerana sangat kurang orang Melayu mahu menyertai DAP yang dianggap parti majoriti Cina.

Namun menurut Aziz, beliau yakin usaha untuk memperjuangkan nasib Melayu lebih berkesan melalui DAP kerana sudah hampir 30 tahun tiada pembangkang Melayu di Sarawak dan parti itu boleh menjadi medan terbaik untuknya.

Bagi Aziz, apabila semua pemimpin Melayu berada dalam kerajaan, masalah yang timbul tidak diperjuangkan kerana semuanya menjadi “pak angguk“ kepada semua dasar kerajaan.

Kali terakhir Sarawak mempunyai pemimpin pembangkang Melayu adalah pada 1987 seperti Wan Mazihi, Nuh Tahir dan Salleh Jafarudin.

"Merekalah pembangkang Melayu terakhir dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Bila ada masalah sekarang, semua menjadi 'yes man'," kata Aziz kepada The Malaysian Insider.

Sebagai contoh apabila peniaga Melayu di pasar pelancongan Satok dihalau untuk memberikan laluan kepada pembangunan, tiada siapa memperjuangkan nasib mereka, kata Aziz.

"DAP pula yang memperjuangkan mereka kerana kalau kita hendak Melayu maju, bawa mereka ke tengah bandar bukan memindahkan perniagaan mereka ke pinggir bandar kerana tindakan ini akan meminggirkan mereka," katanya.

Aziz turut menyiapkan ucapan mengenai isu pasar pelancongan di Satok yang akan dibawa pemimpin DAP ke sidang DUN.

Menurut Aziz, umat Islam di Sarawak mempunyai banyak harta akan tetapi habis digunakan untuk membina bangunan-bangunan besar.

"Bangunan Kompleks Islam di Kuching berharga RM90 juta, di Miri RM110 juta, Sibu RM50 juta manakala Sri Aman pula RM90 juta.

"Jumlahnya RM300 juta yang dibina daripada wang tabung Baitulmal Sarawak. Apabila kita minta laporan kewangan, mereka kata itu kuasa menteri di pusat padahal ia dikawal ordinan negeri," katanya.

Aziz mula mendekati politik ketika melakukan "internship" (latihan sambilan belajar) di pejabat ketua pembangkang Sarawak yang juga ketua DAP negeri itu, Chong Chieng Jen.

Beliau juga pernah menjadi pembantu sepupunya yang bertanding di DUN Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni daripada PBB ketika pilihan raya negeri 2011 lalu.

Namun selepas berkenalan dengan PBB, Aziz tidak yakin boleh mendapat tempat dalam kerana memperlukan banyak wang untuk naik dan ini mendorongnya merapati PKR dan DAP di Sarawak.

Peristiwa menjadi satu-satunya Melayu yang menyertai perhimpunan DAP menjelang pilihan raya 2013 dan cadangan dikemukannya kepada Lim Kit Siang diterima dan dilaksanakan, membawa Aziz menyertai parti itu.

Kini, Aziz merupakan pembantu khas ketua pembangkang DUN dan setiausaha publisiti Pemuda DAP Petra Jaya.

Aziz dikatakan akan turut menjadi calon DAP pada pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Bagi Aziz tindakannya menyertai DAP boleh menukar imej “parti Cina” kepada pelbagai kaum.

"Dalam DAP ini, kami dilatih menjadi wakil rakyat supaya jika kami terpilih sebagai wakil rakyat nanti, kami dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Bagi Aziz, walaupun Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mempunyai imej yang baik di kalangan rakyat negeri itu, ia hanya bersifat sementara.

"Saya yakin selepas kita turun dan jelaskan kedudukan yang sebenar, imej itu akan hilang," katanya.

Sehubungan itu, Aziz yakin DAP akan berjaya menambahkan bilangan kerusi DUN dalam pilihan raya negeri akan datang.

"Saya jangka DAP akan meningkatkan kerusinya daripada 12 kepada 24 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang terutamanya di kawasan Cina.

“Mereka juga akan menang di kawasan Dayak dan kawasan Melayu," kata Aziz yang membayangkan DAP akan bertanding lebih kerusi pada pilihan raya akan datang.

Mahkamah Rayuan baru-baru ini memberikan kebenaran kepada Sarawak untuk meneruskan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu dan menambahkan bilangan kerusi DUN daripada 71 kepada 83.

Aziz juga mempunyai pandangan tersendiri terhadap parti-parti pembangkang yang ada di Sarawak.

"PAS is past," kata Aziz merujuk kepada tindakan PAS yang bergerak sendirian sekarang.

“Parti Amanah Negara (Amanah) pula mempunyai masa depan cerah dengan pendekatan yang diambil.

"Amanah boleh pergi jauh ke hadapan dan boleh menang di kawasan semi urban. Saya jangka Amanah akan menang sekurang-kurangnya satu kerusi pada pilihan raya negeri akan datang," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anak-orang-bn-rasa-dap-platform-sesuai-pejuangkan-nasib-melayu-sarawak#sthash.6Og1Ykgz.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-