Tuesday, October 20, 2015

Hentikan serangan jika bukan ancaman

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
Phahrolrazi (kiri) mengadakan pertemuan dengan Speaker Dun Kedah, Datuk Md Rozai Safian (kanan) di Wisma Darul Aman.
ALOR SETAR - Pas tidak perlu takut dengan perkembangan positif Parti Amanah Negara (Amanah) jika beranggapan ia bukan saingan dan ancaman kepadanya.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sesiapa sahaja bebas menyertai Amanah berdasarkan amalan sistem demokrasi di negara ini.

“Mungkin sudah banyak kali diramalkan bahawa parti baharu tidak akan berpanjangan dan tidak menjadi ancaman kepada mereka (Pas).

“Saya fikir kalau ini bukan ancaman, maka Pas tidak perlu bimbang dengan perkembangan Amanah kerana saya melihat serangan yang dibuat agak teruk dengan pelbagai label,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, jika Pas mengakui Amanah bukan saingan mereka, maka biarlah parti Islam baharu itu berkembang tanpa sebarang gangguan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, kelmarin, mengakui kewujudan Amanah bukan ancaman besar kepada Pas kerana sejarah membuktikan pada 1978, parti itu pernah berpecah sehingga sebahagian besar pimpinannya meletak jawatan dan kerajaan Kelantan tumbang.

Program yang dihadiri lebih 60,000 penyokong Pas dari seluruh negara itu diadakan bagi memupuk semangat istiqamah kepada ahli parti.

Mengulas mengenai program itu, Phahrolrazi menjelaskan bahawa Pas adalah sebuah parti yang berteraskan kepada ideologi doktrin.

“Menjadi kebiasaan untuk mereka mengadakan himpunan dari semasa ke semasa. Itu amalan biasa yang dilakukan Pas.

“Jika pertandingan pilihan raya berdasarkan himpunan teramai, maka Pas sudah menang dari sudut itu. Tetapi pilihan raya tidak berdasarkan kepada jumlah himpunan, ia berdasarkan jumlah undi,” katanya.

Pada perkembangan lain, Adun Pengkalan Kundor itu turut menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuknya mengosongkan kerusi Dun yang dimenangi pada PRU13 lalu.

“Dari segi undang-undang tidak menghendaki saya mengosongkan kerusi jika berpindah kepada parti lain kecuali di Pulau Pinang sahaja yang perlu mengosongkan kerusi.

“Kita sudah beri banyak kali hujah mengenai tiada keperluan untuk berbuat demikian atas pertimbangan beberapa faktor penting,” katanya.

Ini kerana jika kerusi Dun dikosongkan ia sudah tentu perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) yang melibatkan pelbagai pihak dan kos tinggi.

“Rakyat beri mandat kepada kita dan ia berakhir sehingga Dun atau parlimen dibubarkan. Tetapi kalau kita melepaskan jawatan, bermakna kita menolak mandat yang diberikan rakyat.

“Ini bukan keputusan saya berseorangan, tetapi merupakan keputusan kolektif Amanah untuk tidak mengosongkan kerusi masing-masing,” katanya.

Phahrolrazi berkata, kemenangan mereka pada PRU13 lalu bukan mewakili Pas tetapi penyokong PR.

“Cuma PR tidak ada simbol tersendiri. Kalau ada simbol mungkin ia digunakan semasa pilihan raya.

“Ini hakikat yang perlu diterima kerana sebelum wujudnya PR, peluang untuk Pas menang sangat tipis berbanding hasil dalam pakatan yang dibentuk pada 2008,” katanya.

Menurutnya, kemenangannya itu bukan atas sokongan ahli Pas sahaja tetapi melibatkan penyokong PKR dan DAP yang merupakan parti komponen dalam PR.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-