Tuesday, October 20, 2015

'Ini serius, semua orang hendakkan jawapan'

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 OKTOBER 2015

1Malaysia Development Berhad
KUALA LUMPUR - Ahli parlimen pembangkang berang apabila soalan berkaitan syarikat 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung berkata, isu melibatkan 1MDB telah menjadi tumpuan ramai dan rakyat perlu mendapat perkembangan mengenai isu tersebut.

“Semua orang nak tahu jawapan mengenai skandal 1MDB, tetapi dalam Parlimen pun kita (ahli parlimen) tidak boleh dapat jawapan.

“Ini isu serius, melibat kepentingan awam. Kami sungguh kecewa apabila semua soalan ditolak berkaitan 1MDB dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Hsiao Leung berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah telah mengemukakan soalan kepada Dewan Rakyat namun telah ditolak pejabat Speaker yang ditulis oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Antara soalan yang dikemukan Hsiao Leung adalah meminta penjelasan mengenai laporan Wall Street Journal bertarikh 2 Julai 2015 yang mendakwa wang berjumlah RM42 juta telah dipindah ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Manakala, Kamarul Bahrin meminta penjelasan Dewan Rakyat berhubung dakwaan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kerajaan pada asalnya berhasrat mencagar pendapatan kewangan minyak dan gas Terengganu.

Wong Chen mendakwa, pejabat Speaker konsisten menolak soalan berkaitan isu 1MDB kerana sejak dua tahun lalu lagi soalan mereka telah ditolak.

Menurut Hsiao Leung, pihaknya akan terus membangkitkan isu itu sehingga jawapan yang wajar diterima.

“Kami akan kumpulan semua soalan daripada ahli parlimen mengenai 1MDB. Ini penting, Parlimen perlu menjadi bebas tanpa gangguan Eksekutif,” katanya.

Dalam sidang media berasingan, Kamarul Bahrin berkata, teguran oleh Majlis Raja-Raja Melayu berhubung isu 1MDB perlu diberi perhatian serius.

“Kenyataan seperti ini tidak pernah di keluarkan oleh raja-raja sebelum ini. Ini menunjukkan betapa terdesaknya keadaan hari ini.

“Walaupun saya setuju pihak Raja-raja dan Eksekutif perlu hormati bidang kuasa masing-masing mengikut Perlembagaan Negara tetapi oleh kerana situasi sangat kronik perkara luar biasa perlu dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya sekali lagi menggesa agar suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-