Wednesday, October 14, 2015

Islam sederhana, tidak ajar taasub kepada pemimpin, kata Jamil Khir

OLEH MD IZWAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata hari ini ajaran Islam di Malaysia tidak berkonfrontasi dengan amalan tradisi setempat. Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2015.

Ajaran agama Islam yang sederhana berteraskan akidah Sunnah Wal Jamaah tidak mengajar umatnya taasub kepada pemimpin dan kumpulan tertentu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berucap pada sambutan Ma’al Hijrah hari ini, beliau berkata, ajaran Islam yang diajar kepada umatnya tidak terlalu longgar atau terlalu ketat, bagaimanapun ia masih tidak menggadaikan prinsip asas akidah.

“Islam ini ialah Islam yang memikat hati, tidak terlalu ‘rigid’ dan ketat, dan tidak juga terlalu longgar dan bebas.

“Islam ini tidak menyempitkan penafsiran agama sehingga ia menjadi begitu keras dan kaku, dan tidak juga terlalu longgar sehingga menggadaikan prinsip asas, yakni akidah,” katanya di Masjid Negara pagi ini.

Di samping itu, Jamil Khir menekankan, ajaran Islam yang dianuti rakyat Malaysia juga melarang umatnya daripada berkonfrontasi serta taasub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu.

“Islam ini juga ialah Islam yang tidak berkonfrontasi dengan amalan tradisi setempat, tidak emosional, tidak cepat menghukum, taasub kepada pemimpin atau kumpulan tertentu.

“Melalui prinsip kesederhanaan inilah Islam akhirnya mudah diterima kerana ia bersikap terbuka, tidak berkonfrontasi dengan fitrah manusia yang cintakan kedamaian.”

Namun, Jamil Khir berkata tidak semua rakyat Malaysia menghayati erti kesederhanaan sehingga menyebabkan berlaku insiden kekerasan yang mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat majmuk.

“Tidak semua sedar betapa pentingnya mengekalkan keharmonian dan perpaduan, khususnya dalam konteks kepelbagaian beragama di negara ini.

“Kegagalan memahami prinsip ‘kesederhanaan’ atau yang disebut ‘wasatiyyah’ dalam kalangan umat Islam ini sendiri menyebabkan banyak sekali peristiwa ‘kekerasan’ berlaku.”

Baru-baru ini, satu himpunan kontroversi “baju merah” diadakan di ibu kota Kuala Lumpur, kononnya bagi mempertahankan maruah orang Melayu-Islam yang dikatakan tercabar akibat tindakan kaum Cina.

Umno menafikan menaja himpunan tersebut, bagaimanapun beberapa pemimpinnya turut dilihat menyertainya.

Perhimpunan tersebut mencetuskan kontroversi dengan beberapa tindakan berbaur perkauman dengan ucapan dan kain rentang yang dibawa semasa himpunan tersebut.

Satu kekecohan juga tercetus di Jalan Petaling apabila sekumpulan peserta himpunan mahu merempuh masuk ke kawasan majoriti peniaga Cina di situ.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/islam-sederhana-tidak-ajar-taasub-kepada-pemimpin-kata-jamil-khir#sthash.gt5ZiHPI.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-