Sunday, October 25, 2015

Jangan bernostalgia dengan kisah lama, kata Zahid kepada Muhyiddin

OLEH MUZLIZA MUSTAFA
Timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak menimbulkan nostalgia mengenai sesuatu yang tidak menjadi realiti. Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 25 Oktober, 2015.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhenti mencanangkan cerita mengenai perkara yang lepas tentang kesetiaannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan perdana menteri itu berkata beliau menghormati perasaan Muhyiddin, tetapi menambah, timbalan presiden Umno itu perlu "teruskan kehidupan".

"Saya hormati apa yang dilontarkan dan hormati perasaan beliau. Kita tidak perlu bernostalgia tapi tidak menjadi realiti," katanya di Kuala Lumpur mengulas kenyataan Muhyiddin di Johor Baru semalam.

Muhyiddin, dalam satu ucapan pada satu forum semalam mendedahkan, beliau tidak bersetuju dengan desakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya beliau bertanding jawatan presiden Umno kerana kerusi itu milik Najib, yang ketika itu timbalan presiden parti.

Muhyiddin berkata keengganan beliau menafikan Najib kedudukannya itu membuktikan kesetiaannya dan berkata, ahli Umno tidak harus meminggirkan beliau selepas digugurkan dari Kabinet kerana secara terbuka mempersoalkan Najib berhubung syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Muhyiddin dilucutkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri hujung Julai lalu dan Zahid dilantik mengambil alih tanggungjawab itu.

Zahid hari ini berkata, setiap ahli Umno perlu setia kepada kepimpinan yang ada sekarang.

"Kalau mana-mana individu yang merasakan seseorang di tampuk kepimpinan tidak layak untuk sesuatu jawatan, orang itu boleh menawarkan diri dan membuktikan kepada rakyat beliau lebih baik untuk memimpin," kata Zahid, sambil menambah pemimpin itu boleh diuji dalam pilihan raya umum.

"Eloklah kita tunggu pilihan raya umum, tengok manakah pilihan rakyat," katanya.

Sejak digugurkan dari Kabinet, Muhyiddin sering menyuarakan secara terbuka kebimbangannya mengenai dana pelaburan negara yang sarat hutang, 1MDB, itu.

Beliau baru-baru ini muncul pada sidang akhbar bersama Dr Mahathir dan 4 veteran pemimpin Barisan Nasional lain, mengecam Putrajaya yang didakwa menggunakan undang-undang keselamatan terhadap 2 orang pengkritik 1MDB yang disabitkan dengan cubaan mensabotaj ekonomi negara. – 25 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-bernostalgia-dengan-kisah-lama-kata-zahid-kepada-muhyiddin#sthash.sWHofBgZ.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-