Friday, October 30, 2015

'Jangan bolak-balik isu agama'

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 OKTOBER 2015

Syed Ibrahim Syed Ahmad
KUANTAN – Exco Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad tidak menolak bahawa institusi agama seperti Jabatan Mufti bertanggungjawab mengeluarkan fatwa, tetapi ia mestilah merujuk kepada ajaran yang sebenar bukan mengikut telunjuk individu hatta pemikiran mufti itu sendiri.

Beliau yang mengulas fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, menyifatkan kenyataan mufti itu berbolak-balik mengenai fatwa larangan berzikir.

Menurutnya, tidak dinafikan dalam institusi sesebuah kerajaan terdapat beberapa institusi agama yang bertanggungjawab dalam memperkasa dan membetulkan pandangan ummah terhadap agama itu sendiri.

Namun, apabila fikrah dan fatwa yang bercanggah antara sehari ke sehari akan menjadikan institusi tersebut dipergunakan oleh individu tertentu.

“Sebelum ini mereka pernah melarang berzikir dan sepakat mengatakan zikir itu adalah bidaah. Kini amalan zikir dibolehkan tetapi mengeluarkan fatwa larangan zikir menari.

"Apa-apa sahaja perbuatan yang tidak elok ketika beribadah sememangnya sudah haram dan ini tidak perlu diperjelaskan lagi.

Selain itu pelbagai hukum yang dizahirkan semata-mata untuk mengeluarkan fatwa yang ternyata sentiasa bercanggah dari semasa ke semasa akan menyebabkan masyarakat semakin celaru,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mufti: Menari untuk berzikir dilarang syarak]

Dr Mohd Asri dalam kenyataan berkata, gerakan yang berlaku secara spontan (tamayul) tanpa diniatkan sebagai ibadat semasa berzikir atau membaca al-Quran dan lain-lain tidak dilarang.

Menurut Syed Ibrahim, kenyataan itu bukan sahaja menambahkan kecelaruan namun boleh membawa kepada pertikaian dalam agama yang lebih dibimbangi mewujudkan perselisihan dan perpecahan ketara ummah.

“Kita menyeru agar fatwa celaru yang dikeluarkan bukan untuk meraih sokongan populariti. Isu ini perlu diperbetul dan di selesaikan dengan betul agar umat Islam tidak terus terkeliru," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-