Sunday, October 25, 2015

Jenamakan semula negara kembali jadi antara terbaik, kata Rafidah

Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz menggesa Malaysia melakukan penjenamaan semula, mengatakan negara ini sudah kehilangan daya tarikan kepada pelabur asing dan pelancong.Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Oktober, 2015.

Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz menggesa Malaysia melakukan penjenamaan semula, mengatakan negara ini sudah kehilangan daya tarikan kepada pelabur asing dan pelancong.

Beliau berkata, Malaysia masih mempunyai fundamental yang membolehkan ia melonjak sebagai "tiger economy" dan "role model" beberapa dekad lalu, dan tiba masanya negara ini menunjukkan keupayaan sebenarnya kepada dunia sekali lagi.

"Penjenamaan semula Malaysia mestilah tentang menunjukkan kepada dunia yang kita ditadbir dengan baik dalam semua bidang. Yang kita merupakan contoh kejayaan sebenar bersatu dalam kepelbagaian.

"Orang muda kita adalah setaraf dengan yang terbaik dalam dunia... dan berkemampuan, menggerakkan negara ke depan.

"Yang negara dan rakyat kita komited memastikan mereka terus mengupayakan alam sekitar untuk kejayaan dan pembangunan selanjutnya," tulis Rafidah di laman Facebooknya, dalam bahasa Inggeris.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, usaha penjenamaan semula itu harus melibatkan bukan hanya kerajaan, tetapi semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata Malaysia ketinggalan disebabkan persaingan yang kuat di luar negara, serta "isu tempatan dan penyelewengannya" sendiri.

"Kita mempunyai pesaing kuat mengejar perkara yang sama. Pelaburan, untuk menjadi hab kompetitif bagi operasi serantau dan global, untuk memenuhi pasaran umum; dan lokasi untuk menubuhkan pusat kecemerlangan, seperti R&D, teknologi dan pembangunan proses, dan pengeluaran dan bekalan produk 'state-of-the-art dan perkhidmatan.

"Kita juga perlu bersaing untuk dolar pelancong... terutama untuk menarik pelancong dari negara yang penduduknya baru diberi kuasa dan mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih tinggi,” katanya.

Rafidah berkata, pelancong dan pelabur menilai Malaysia berdasarkan apa yang negara ini boleh tawarkan dan juga berdasarkan persepsi mereka sendiri.

Tetapi bekas ketua Wanita Umno itu mengingatkan rakyat, negara ini masih mempunyai daya tahan untuk terus bertabah serta kualiti yang diperlukan untuk membuatkan kehadirannya dirasai semula.

"Kita memerlukan semangat Malaysia yang segar dan diberi nafas baru serta komitmen!

"Marilah kita memberi makna yang kuat dan hebat kepada perkataan 'transformasi'. Marilah kita berubah menjadi antara yang terbaik sekali lagi!,” katanya. – 25 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jenamakan-semula-negara-kembali-jadi-antara-terbaik-kata-rafidah#sthash.QZDC2zqL.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-