Friday, October 9, 2015

Kenapa Najib masih lagi belum mahu ambil tindakan 'Sosma' terhadap Mahathir........?

Dr Mahathir persoal apakah Najib terlibat keputusan peguam negara ‘bersihkan’ 1MDB

Published: 9 October 2015 9:05 PM
Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad berkata, peguam negara kini bertindak ‘melampaui’ peranan seorang hakim dengan menganggap cadangan Bank Negara Malaysia melaksanakan pendakwaan terhadap 1MDB sebagai tidak perlu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.

Jabatan Peguam Negara tidak telus dalam “membersihkan” 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membuat pendedahan palsu, kata Tun Mahathir Mohamad hari ini sambil mempersoalkan apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut terbabit dalam keputusan itu.

Menulis dalam blognya www.chedet.cc petang ini, bekas perdana menteri itu berkata, peguam negara kini bertindak "melampaui" peranan seorang hakim dengan menganggap cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan pendakwaan terhadap 1MDB sebagai tidak perlu.

"Ia akan kelihatan seperti peguam negara sudah membuat penghakiman, menolak kes itu sebagai tidak mempunyai merit untuk perbicaraan di mahkamah undang-undang.

"Dan apabila rayuan dibuat, rayuan itu ditolak beliau atas alasan yang tidak jelas. Terdapat kekurangan ketelusan di sini," tulis Dr Mahathir petang ini.

Dr Mahathir mengulas pengumuman Jabatan Peguam Negara semalam yang mempertahan keputusan awal berhubung 1MDB dan bantahan Bank Negara petang ini selepas siasatan mendapati syarikat sarat hutang itu memperoleh kebenaran untuk melabur di luar negara berdasarkan pendedahan tidak tepat.

Bank Negara juga berkata mereka membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB untuk pelaburan asing bernilai AS$1.83 bilion (RM7.53 bilion), dan mengarahkan syarikat itu memulangkan dana tersebut ke Malaysia.

"Dalam kes seperti ini rakyat ingin tahu sama ada perdana menteri terlibat atau tidak.

“Dengan menolak kes ini, syak wasangka akan kekal dalam minda rakyat. Malah orang berfikir keputusan peguam negara mungkin bukan dibuat peguam negara,” tulis Dr Mahathir.

Dr Mahathir, yang berkali-kali mengkritik Najib berkaitan 1MDB sejak tahun lepas berkata, selain kedaulatan undang-undang, Putrajaya kini mengancam sesiapa yang mempersoalkan mereka berhubung syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Beliau mengecam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), undang-undang anti keganasan yang membawa kepada penahanan bekas ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Khairuddin membuat beberapa laporan kepada penyiasat luar negara terhadap 1MDB dan tindakan tersebut digambarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai cuba mensabotaj negara.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dr-mahathir-persoal-apakah-najib-terlibat-keputusan-peguam-negara-bersihkan#sthash.pnNsGWQa.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-