Thursday, October 8, 2015

Kenapa pemimpin Umno DIAM dengan titah Raja?

Oleh Shahbudin Husin
Apabila Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat, sehingga ini belum kedengaran lagi sebarang reaksi daripada pemimpin UMNO mengenainya.

Najib diam, Zahid Hamidi diam, Tengku Adnan (kerabat juga ni??) diam dan Ahmad Maslan juga diam. Pendeknya, semua dalam UMNO seolah-olah tidak melihat saranan Raja-Raja Melayu itu sebagai sesuatu yang penting dan bernas, walhal rasanya inilah pertama kali Raja-Raja Melayu bersuara dalam soal yang melibatkan kerajaan.Apakah pemimpin UMNO tidak menganggap gesaan Raja-Raja Melayu itu sebagai sesuatu yang serius?

Selama ini tidak pernah Raja-Raja Melayu mahu masuk campur dan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan yang memerintah menyelesaikan sendiri segala kemelut yang mereka hadapi.

Tetapi, pelbagai rentetan dalam 1MDB yang sudah pun berlaku terang-terang di depan mata rakyat, tentulah akhirnya menjadi antara sebab yang menggerakkan hati Raja-Raja Melayu untuk segera melakukan gesaan tersebut.

Rakyat bukan saja menjunjung kasih, bahkan rata-rata lega dengan kenyataan Raja-Raja Melayu itu dan mula menaruh harapan agar segera ada "cahaya di hujung terowong" berkaitan penyiasatan1MDB kerana sejak kebelakangan semua itu seolah-olah bakal berlapuk dalam fail saja.

Hanya pemimpin pembangkang daripada PKR, Pas dan DAP yang pantas memberi reaksi terhadap saranan pihak istana itu.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali lantas menggesa kerajaan mengambil serius teguran Raja-Raja Melayu itu manakala Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menuntut segera dihidupkan semula pasukan petugas khas yang telah "dimatikan" sebelum ia benar-benar berperanan sebelum ini.

Lim Kit Siang pula mahukan Parlimen memperuntukan dua hari dalam sidang Parlimen akan datang ini bagi membincang dan membahaskan permintaan Raja-Raja Melayu itu.

Tetapi daripada sekian pemimpin pembangkang yang menyambut baik apa yang dilakukan oleh Raja-Raja Melayu itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahfuz Omar terlihat agak berani, berterus terang dan tepat "mengena ke dahi" Perdana Menteri.Namun, apabila meneliti satu persatu ayat yang dikeluarkannya itu, tidak ada rakyat yang bebas dan merdeka yang tidak bersetuju dengannya.
Antara intipati kenyataan Mahfuz Omar ialah:-

- memohon Raja-Raja Melayu bertindak lebih keras dengan segera memecat Perdana Menteri dan Peguam Negara susulan kontorversi 1MDB yang terus berpanjangan.

- Raja-Raja Melayu tidak boleh membiarkan institus Raja-Raja tercalar dan institusi awam yang berdiri atas nama Diraja bertindak berasaskan canpurtangan kuasa politik pemimpin korup yang menerajui negara sekarang.

- menyifatkan pentadbiran negara sekarang tidak ubah seperti perjalanan pentadbiran sebuah kumpulah mafia.

- dalam kumpulan mafia, siapa yang lawan ketua akan ditembak tetapi dalam politik negara siapa yang mengancam Najib akan dicantas, diugut dan sebagainya.

Hakikatnya, sesiapa yang mengenali Mahfuz tentulah tidak hairan dengan kenyataan atau ayat-ayat yang dipilihnya itu.Cumanya, ketika ini adalah musim Najib menyaman orang. Sudah ramai yang disamannya dengan yang terbaru ialah bekas Presiden MCA, Dr Ling Liong Sik.

Apakah ungkapan kata Mahfuz kali ini, terutama berkaitan mafia dan pemimpin korup akan mendorong Najib turut menghantar surat saman kepadanya?Atau barangkali memang Mahfuz mahu disaman oleh Najib supaya banyak lagi pendedahan serta pertanyaan dapat dikemukakan di mahkamah nanti? -BlogSpot

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=342232:kenapa-pemimpin-umno-diam-dengan-titah-raja?&Itemid=2#ixzz3nwcahGcb
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-