Friday, October 2, 2015

Malaysia akan terima 3,000 pelarian Syria, kata Najib

Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh 3 tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2015.

Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh 3 tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

"Sebab itu Malaysia selama ini mengambil banyak orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman," katanya pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

Pengumuman Najib berhubung kesediaan untuk menerima pelarian Syria itu disambut tepukan gemuruh audiens.

Dilaporkan sejak 4 tahun lepas, kira-kira 4 juta pelarian Syira melarikan diri ke negara jiran dan bergelumang dalam kancah kemiskinan.

Najib berkata penyelesaian antarabangsa yang baharu diperlukan bagi menangani krisis migrasi.

Katanya, "kita mesti menghormati nilai kemanusiaan bersama" dan isu berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka harus menjadi kebimbangan dan perhatian dunia.

"Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan - dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita.

"Apabila kita melihat gambar memilukan jasad Aylan Kurdi berusia 3 tahun yang terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu maka kita akan bertindak untuk berbuat lebih baik.

"Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh - tidak akan membiarkannya saja," kata Najib.

Najib turut mengulangi kekecewaan Malaysia terhadap kegagalan PBB menerima pakai resolusi menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa untuk menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 kerana kuasa veto dikenakan.

"Kami akan terus menuntut keadilan menerusi opsyen undang-undang lain kerana kami bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian jenayah yang kejam ini," katanya.

Pada 29 Julai lepas, Rusia menggunakan kuasa veto untuk menghalang cadangan 5 negara yang dirintis Malaysia untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa sementara bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 tahun lepas.

Resolusi tersebut mendapat 11 undi menyokong daripada Chad, Chile, Perancis, Jordan, Lithuania, Nigeria, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

China, Venezuela dan Angola, bagaimanapun, berkecuali daripada mengundi.

Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terkorban apabila pesawat itu ditembak jatuh di Donetsk di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas. – Bernama, 2 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/malaysia-akan-terima-3000-pelarian-syria-kata-najib#sthash.yN8ukaTC.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-