Monday, October 19, 2015

Mengapa pandang serong wanita 'hisap' vape?

OLEH NABIHAH HAMID
Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai ‘vape’ bukan saja diminati kaum lelaki tetapi turut digemari kaum wanita. Malah, beberapa penggemarnya yang ditemui pada Festival Vape di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam semalam menegaskan menghisap vape bukanlah sesuatu yang salah seperti melakukan jenayah.Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim

Meskipun dipandang serong sesetengah pihak dalam masyarakat, pengguna rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai “vape” wanita tetap mempertahankan minat mereka.

Beberapa penggemar vape yang ditemui The Malaysian Insider pada Festival Vape di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam semalam menegaskan menghisap vape bukanlah sesuatu yang salah seperti melakukan jenayah.

"Perempuan dengan lelaki sama saja, kalau untuk perempuan tak elok kenapa lelaki elok pula?

“Kita tidaklah buat jenayah," kata Natasha Elina, 23 yang merasakan pandangan itu tidak adil kerana golongan wanita sering kali dipandang serong.

Katanya, meskipun bertudung beliau masih tahu batasan dan tidak terlalu menonjol kepada masyarakat walaupun menggemari vape.

"Saya dulu hisap shisha dan kini gemar hisap vape tetapi kalau tempat yang ramai orang tua kalau boleh janganlah hisap," katanya yang pekerja sebagai pembantu peribadi itu.
Rata-rata penggemar menyifatkan vape yang mempunyai pelbagai perisa memberikan kepuasan kepada pengguna selain daripada berbau harum dan menjimatkan wang.Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim

Manakala Farah Hana Syazwani, 21, berpendapat tiada masalah sekiranya perempuan meminati dan menghisap vape.

"Itu terpulang kepada individu. Kalau perempuan bertudung hisap rokok lagi nampak teruk.

“Baik hisap vape,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu, 2 gadis ditemui mengakui selepas berjinak-jinak dalam industri yang semakin menjadi trend itu dapat membantu mereka berhenti daripada merokok.

Bagi Tasha Ismadi, 20, yang sudah merokok sejak 18 tahun gembira dapat membuang tabiat merokok selepas mengenali vape.

"Saya nak berhenti merokok dan saya suka dengan banyak perisa vape. Sampai sekarang saya hanya hisap vape dan tidak merokok.

"Lagipun kesan hisap rokok lebih teruk daripada vape. Jadi apa masalahnya kan?" soal Tasha lagi yang juga merupakan jurujual secara sambilan di festival tersebut.

"Saya tak ketagih vape pun. Saya dah lama hisap rokok jadi kini baru nak belajar-belajar hisap vape kan.

“Kalau ada vape, saya kurang hisap rokok," kata Umi Kalsom, 21, yang merupakan pelajar daripada sebuah kolej swasta.
Seorang pelajar kolej swasta, Umi Kalsom, 21, mengakui trend menghisap vape dapat membantunya mengurangkan tabiat menghisap rokok.Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim

Rata-rata mereka turut menyifatkan vape yang mempunyai pelbagai perisa memberikan kepuasan kepada pengguna selain daripada berbau harum.

Bagi mereka, ia juga dapat menjimatkan wang penghisap rokok tegar kerana model mampu milik yang variasi dan kos penyelenggaraan yang rendah.

Industri vape dapat dilihat semakin berkembang dengan begitu pesat apabila ramai peniaga menjual alat ganti dan perasa vape secara kecil-kecilan.

Bukan sahaja melalui jualan secara langsung di kaki lima mahupun pasar malam, penjualannya turut berurus niaga dalam talian menggunakan laman media sosial seperti Facebook.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mengapa-pandang-serong-wanita-hisap-vape#sthash.T4MGdyJd.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-