Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, October 14, 2015

Muhyiddin: Fikir waras, siapa sebenar sabotaj negara?

Muhyiddin Yassin
Saya telah membaca beberapa kenyataan yang dibuat oleh segelintir pihak yang mendakwa bahawa saya telah membantah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 12 Oktober lalu.

Dan ini kononnya bercanggah dengan pendirian saya menyokong SOSMA semasa di dalam kabinet dan ketika rang undang-undang Sosma dibentangkan di parlimen.

Pendirian saya tidak pernah berubah.

Saya menyokong Sosma untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan Sosma yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang.

Tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan Sosma.

Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin?

Pendirian saya ini adalah selari dengan jaminan kerajaan ketika akta ini digubal bahawa ia tidak akan disalahgunakan untuk tujuan-tujuan lain, terutamanya yang bermotifkan politik.

Moga perjuangan diberkati

Ini termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan.

Jaminan ini adalah selaras dengan langkah transformasi politik yang diambil oleh kerajaan.

Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah?
Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?

Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap?

Apakah pemimpin Umno harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang?

Janganlah dibiarkan jiwa perjuangan yang mengalir dalam darah setiap pejuang Umno dibeli dengan harga yang murah.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pejuang Umno untuk bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.

Barulah Umno akan disegani dan dihormati oleh rakyat seluruhnya dan diberkati perjuangannya oleh Allah SWT.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN timbalan presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri. Kenyataan ini dimuatkan kali pertama di Facebook beliau sebentar tadi.