Wednesday, October 21, 2015

Muhyiddin gesa Putrajaya tangani kemelut 1MDB jika mahu ekonomi pulih

OLEH MD IZWAN
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skandal 1Malaysia Development Berhad merupakan krisis terbesar dihadapi negara ketika ini yang mengugat imej dan juga integriti pemimpin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Oktober, 2015.

Putrajaya digesa menangani kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika mahu ekonomi negara kembali stabil, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini ketika negara sedang berdepan kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam sejarah dan ketaktentuan ekonomi.

Muhyiddin, pengkritik utama syarikat pelaburan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata 1MDB merupakan krisis terbesar dihadapi negara ketika ini.

"1MDB krisis terbesar melanda negara, sudah heboh. Itu yang saya sebut dalam ucapan awal tadi mengenai soal keyakinan, ketelusan, integriti, isu pokok, nilai sejagat.

"Ia mengugat imej dan juga integriti pemimpin kita, itu terjejas," kata Muhyiddin semasa menghadiri majlis minum petang anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEM) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.

Bagi Muhyiddin, meskipun negara mempunyai fundamental ekonomi yang kukuh dan memiliki infrastruktur terbaik dan dasar ekonomi pro-perniagaan, kestabilan politik juga penting.

"Kalau situasi fundamental politik tidak diambil kira, untuk menangani masalah ekonomi yang kita hadapi, saya kira itu pandangan yang tidak berapa tepat.

"Maksud saya, sekarang sudah timbul satu suasana seolah-olah yang membawa implikasi dan kesan satu kepada keyakinan. Apa yang orang kata trust defisit dalam sistem di negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata isu dihadapi kerajaan sekarang adalah membabitkan keyakinan dan ketelusan di mana ia menjadi keutamaan untuk pelabur datang melabur ke Malaysia.

"Suasana ini menekan apabila orang mula persoalkan ke mana negara kita, ramai yang bertanya apa sudah jadi kepada negara kita.

"Ini melibatkan soal integriti, keyakinan, ketelusan dan kepercayaan, jika tiada kepercayaan maka tiada keyakinan terhadap apa yang berlaku dalam iklim dalam negara kita, maka orang akan ambil sikap tidak datang, pelabur tidak datang.

"Malah saya ada data menunjukkan pelaburan negara kita sudah agak kurang daripada yang lepas, nak datang ke sini dahulu pun harus berfikir berkali-kali kerana tidak tahu situasi politik yang kurang stabil, mereka tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh setahun dua akan datang, dan disebabkan beberapa isu," katanya.

Pertumbuhan ekonomi juga dijangka merosot tahun ini, Keluarga Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka merosot ke 4.7% daripada unjuran awal 5%, ditambah dengan kejatuhan nilai ringgit terburuk sejak krisis ekonomi pada 1998.

Muhyiddin berharap dalam bajet kali ini yang dibentangkan kerajaan menumpukan kepada langkah untuk menangani kelembapan ekonomi dan membantu rakyat yang berdepan tekanan.

"Saya kerajaan harap ada langkah-langkah yang pro-aktif, sama ada akan diumumkan dalam belanjawan tentang menangani keadaan kelembapan ini.

"Langkah-langkah yang diambil itu bukan sahaja membantu usahawan, tapi rakyat biasa yang sebahagiannya mempunyai pendapatan yang kecil, tertekan akibat kos hidup yang meningkat, kadar tol yang bertambah, kadar minyak yang sudah bertambah, harga barang yang sudah meningkat, ditambah lagi dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menambah beban mereka," katanya.

Menurut Muhyiddin, kumpulan B40 (bottom 40%) amat tertekan dengan keadaan ini di mana ia satu realiti yang menghimpit kehidupan mereka.

"Kelompok-kelompok the bottom 40%, ini merasakan satu tekanan yang amat luar biasa.

"Ini semua real situation. Ini bread and butter issue," katanya.

Najib, yang juga menteri kewangan akan membentang Bajet 2016 pada Jumaat ini dengan tumpuan diberi ke arah dasar fiskal negara, pada ketika ketidaktentuan ekonomi dan skandal kewangan dihadapi beliau.

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi negara yang diukur menerusi KDNK, meningkat 4.9% pada suku kedua 2015 berbanding tahun sebelumnya, berbanding dengan peningkatan 5.6% pada S1 (suku pertama).

Menjelang pengumuman Bajet 2016, kerajaan sebelum ini menjalankan kajian untuk mengetahui apa yang rakyat Malaysia harapkan.

Kos sara hidup, perumahan bandar dan kehidupan, dan pendidikan mendahului senarai harapan rakyat, menurut kajian itu.

Tinjauan itu melibatkan 15 kategori. Ini termasuk pembangunan ekonomi, pekerjaan, selain belia dan sukan.

Bajet 2016 akan dipantau kerana ia akan menguji komitmen dasar kepada disiplin fiskal di tengah-tengah keperluan kerajaan perlu mendapatkan hasil ekonomi.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muhyiddin-gesa-putrajaya-tangani-kemelut-1mdb-jika-mahu-ekonomi-pulih#sthash.okPh9FP1.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-