Sunday, October 25, 2015

Muhyiddin: Peranan semakin terhad, apa salah saya?

NOOR AZURA SAHRIL
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada program Bicara Minda, 'Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian di Johor Bahru, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

JOHOR BAHRU - Meskipun masih lagi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan peranannya yang kini semakin terhad dan terbatas dalam soal parti selepas digugurkan dari barisan Kabinet, Julai lalu.

"Mengapa selepas tidak lagi berkedudukan dalam Kabinet, kedudukan saya dalam parti juga terjejas," soalnya.

Menurut Muhyiddin, beliau melihat peranan itu ada kelainan walaupun tidak sepatutnya begitu.

"Saya tidak lagi boleh mempengerusikan mesyuarat pengurusan parti atas alasan ia mesyuarat biro politik khas.

"Sudah tentulah presiden yang pengerusikan, tetapi bila saya hadir, ia hanyalah mesyuarat pengurusan biasa yang dipengerusikan oleh presiden," katanya ketika berucap pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian berjudul 'Berani Kerana Benar', di Hotel Bluewave, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tak mungkin saya gunting dalam lipatan]

Muhyiddin turut mempersoalkan, adakah beliau tidak lagi berkeupayaan atau kepimpinan tidak lagi mempercayainya apabila tugas itu bukan lagi menjadi tanggungjawabnya kini.

"Saya pun tidak tahu apa masalah saya, saya tidak lagi berkeupayaan atau (mereka) tidak mempercayai saya lagi," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga tidak pasti apakah selepas ini beliau akan mempengerusikan mesyuarat dewan tertingggi BN yang dipengerusikannya sebelum ini.

"Saya pun tidak pasti apakah ada mesyuarat selepas ini," katanya.

Menurutnya Muhyiddin, tindakan seperti itu juga seolah-olah tidak menghormati keputusan ahli-ahli parti yang memilihnya sebagai timbalan presiden.

"Mereka mudah lupa akan usaha dan pengorbanan yang saya lakukan. Apa salah dan silap saya?," katanya ketika menjawab pertanyaan hadirin apakah ada perbezaan peranannya selepas digugurkan daripada kabinet.

Dalam pada itu, menjawab apakah selepas ini beliau akan diberikan peluang mempengerusikan mesyuarat sayap parti pada Perhimpunan Agung Umno pada Disember akan datang, Muhyiddin hanya menjawab "soal merasmikan atau tidak Waallahualam".

Jelas Muhyiddin, jika mengikut amalan Presiden akan merasmikan perhimpunan agong dan Timbalan Presiden akan merasmikan sayap Wanita dan Puteri.

"Saya ada dengar ada usaha dibuat pihak tertentu bagi meminta Presiden rasmikan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri. Adakah benar begitu, atau psiko pihak tertentu agar saya tidak merasmikan. Wallahualam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-