Saturday, October 3, 2015

Parti Amanah : Guan Eng Ucap Tahniah Kepada Mat Sabu

 Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengucapkan tahniah kepada Mohamad Sabu kerana berjaya mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebuah parti baharu yang diterajuinya, Parti Amanah Negara.

“Tahniah kepada Parti Amanah Negara (PAN) yang telah disahkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan hari ini,” lapor Facebook DAP yang turut memuatkan gambar Guan Eng bersalam dengan Mohamad Sabu.

Facebook CM Lim Guan Eng turut memaklumkan kelulusan pendaftaran Parti Amanah itu telah diumumkan Mohamad Sabu dalam sidang media bersama Guan Eng di George Town hari ini.

Difahamkan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu membuat pengumuman itu dalam satu Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung oleh Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut Facebook Ahmad Tarmizi B Abdullah, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang juga aktivis Amanah, Majlis Penyerahan Watikah itu diadakan di Kompeleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), George Town.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ghazali Derahman dan Pegawai-pegawai Daerah dari daerah Barat Daya, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Utara (SPU).

“Semua lantikan berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2015 hingga 31 Disember 2015,” lapor Facebook CM Lim Guan Eng.

Semalam, Zulkifli Sulong, pengarang analisis dan rencana The Malaysian Insider melaporkan Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang telah mengisytiharkan kerajaan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Pakatan Harapan dan bukan lagi kerajaan Pakatan Rakyat.

Ekoran pengumuman itu, secara perlahan-lahan, pimpinan Amanah akan mengambil tempat pimpinan PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ini termasuk sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), majlis bandaraya dan perbandaran sehinggalah peringkat terendah iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), kata sumber The Malaysian Insider.

Difahamkan, hampir 500 pimpinan PAS di semua peringkat terlibat dengan jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang ketika PR masih terbentuk.

Empat Penyelaras DUN yang diwakili PAS, iaitu di kawasan Sungai Dua, Bayan Lepas, Permatang Berangan dan Penaga, akan digantikan dengan wakil Amanah.

Penyelaras DUN, yang menerima elaun tetap RM3,500 sebulan dari kerajaan negeri, umpama wakil rakyat yang dilantik kerajaan negeri di kawasan yang mereka kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Ketika kedudukan Yang Dipertua Maipp Datuk Salleh Man akan terus kekal sehingga tempohnya tamat kerana pelantikannya dibuat Yang Dipertuan Agong, kedudukan ahli Maipp daripada PAS, Afnan Hamimi Mohd Taib, bakal tergugat.

Namun kedudukan seorang lagi wakil PAS dalam Maipp, Rosidi Husin akan kekal kerana beliau menyertai Amanah.

Dua wakil PAS dalam majlis kerajaan tempatan juga akan terus gugur selepas meletakkan jawatan sebelum ini manakala 2 lagi akan dilantik semula kerana menyertai Amanah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-