Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, October 26, 2015

Pas: Amanah terpaksa bergantung kepada Dap

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
26 OKTOBER 2015

Mohd Khairuddin
KUALA LUMPUR - Pas tidak hairan sekiranya Parti Amanah Negara (Amanah) terus ‎ mengangkat nama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana parti itu didakwa sudah sedia maklum telah mengikut telunjuk DAP.

Ahli Parlimen Kuala Nerus dari Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At- Takiri berkata, oleh yang demikian Amanah tidak perlu 'malu-malu' untuk menonjolkan pendirian sebenar mereka.

‎"Pertama saya nampak memang parti serpihan Pas ini menjadi pengikut kepada DAP, kerjanya mempromosi DAP dan memang tidak peliklah apabila saudara Salahuddin pun mempromosi Lim Guan Eng," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang berkata Guan Eng adalah contoh tokoh politik mewakili masyarakat bukan Islam yang mampu menyelamatkan negara.

Salahuddin berkata, Guan Eng adalah contoh mewakili orang bukan Islam kerana mempunyai integriti.

Susulan daripada itu, Mohd Khairuddin meminta supaya orang Islam berhati-hati dengan permainan politik yang dilihat membelakangkan perjuangan Islam.

"Dalam kaedah Islam, kita (Pas) ada prinsip, kekuasaan dan penguasaan mestilah didominasi oleh orang Islam, barulah kita menolak idea (Baru Bian) sebagai Ketua Menteri (sebelum ini).

"Sebab dia bercanggah dengan Islam, tidak boleh kita jatuhkan seorang pemimpin Islam walaupun dia tidak mengikut Islam sepenuhnya digantikan dengan Ketua Menteri yang bukan Islam.

"Kaedah Islam ialah mesti difahami bahawa Pas tidak akan memainkan isu ini, jadi inilah yang membezakan kita dengan parti-parti lain" jelasnya.

Beliau berkata, Amanah sudah mula akur kelemahan parti itu yang tidak mempunyai jaminan untuk menang di dalam pilihan raya akan datang.

Beliau turut memberitahu pimpinan Amanah bukanlah pilihan yang tepat untuk orang Islam memberi undi kepada mereka.

"Itu lemah semangat maknanya (apabila mereka kata mereka tidak akan menang dalam pilihan raya akan datang), kita sebagai orang politik perlu kuat semangat dan tidak boleh lemah semangat.

"Jadi saya merasakan bahawa mereka tidak ada sokongan, saya sebutkan di sini contohnya macam PKR yang begitu lama dalam politik pembangkang yang lebih 10 tahun pun tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi, jadi apakan lagi dengan serpihan Pas ini," katanya lagi.