Thursday, October 29, 2015

PAS dan BN tidak mungkin akan bersatu, kata setiausaha agung

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bercakap kepada pemberita di luar Parlimen, hari ini.Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Oktober, 2015.

PAS menegaskan hari ini, pihaknya tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) seperti dilaporkan media sebelum ini, sebaliknya menegaskan ia akan tetap menjadi parti politik pembangkang.

Setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebut mengenai kerjasama membawa maksud kerjasama dalam perkara yang baik, dan bukannya kerjasama politik.

"Kami tidak akan kerjasama dengan BN di pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kami akan tetap menjadi pembangkang.

"Yakin tidak yakin, kalau perlu, kita bersendirian, kita akan bersendirian. Kita pernah bersendirian," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Baru itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan Hadi sebelum ini juga tidak merujuk secara spesifik mereka akan menjalinkan kerjasama politik dengan BN.

"Kita tidak semestinya tidak ada rakan politik. Mungkin ada rakan politik baharu. Tunggu dan lihat. Kalau bukan parti, mungkin individu.

"Kenyataan presiden bukan bererti PAS hendak bekerjasama dengan BN, apatah lagi kalau nak masuk BN, itu tidak pernah timbul.

"Kita masih berpendirian akan kekal sebagai pembangkang, dan kita kerjasama dengan semua parti, termasuk kerajaan persekutuan, DAP, untuk kebaikan. Tapi bukan kami sertai BN," katanya.

Takiyuddin berkata, kerjasama dalam perkara baik yang dimaksudkan Hadi itu adalah kerjasama membabitkan isu dan kepentingan rakyat.

"Kita kerjasama, beri pendapat, kami (PAS) tidak pernah mahu sertai BN melainkan BN jadi pembangkang," katanya.

"PAS tidak mahu kerjasama politik. Bertanding bersama tidak pernah. Kami kerjasama atas isu. Apa yang baik untuk rakyat, kami akan kerjasama. Itu saja," katanya. – 29 Oktober, 2015.

MENYUSUL LAGI

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-dan-bn-tidak-mungkin-akan-bersatu-kata-setiausaha-agung#sthash.qQhHEFO2.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-